FAM Cadang Setiap Pasukan Tubuh ‘Marshall’ Kawal penyokong

Image result for Datuk Seri Zulkifli Abdullah fam

Kelana Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mencadangkan semua pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) membentuk pasukan marshall untuk berkawal di stadium setiap kali perlawanan berlangsung.



Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, cadangan terbabit akan diusulkan dalam mesyuarat Exco FAM yang akan datang.

Katanya, kehadiran pasukan marshall di stadium dilihat mampu mengatasi masalah kekecohan penyokong di stadium seperti yang berlaku pada musim sebelum ini.

“Kita nak galakkan persatuan negeri atau kelab membentuk pasukan marshall dan ambil contoh daripada Johor Darul Ta’zim (JDT). Kalau tak silap saya JDT mempunyai kira-kira 300 marshall dan mereka banyak membantu pihak polis.




“Marshall terdiri daripada orang awam, jadi mereka lebih rapat dengan penonton dan boleh berperanan memberi nasihat supaya tidak melakukan provokasi atau kekecohan,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, semalam

Selain itu, Zulkifli turut mencadangkan semua persatuan dan kelab dapat meletakkan nombor pada tempat duduk penonton di stadium bagi mengelakkan stadium mengalami lebihan kapasiti.

Katanya, ia salah satu langkah untuk memudahkan kawalan keselamatan di stadium, sekali gus mengelak berlaku perkara tidak diingini.

“Kami juga akan adakan bengkel keselamatan pada minggu ketiga bulan ini yang membabitkan pengurusan stadium, wakil pasukan dan polis. Kami jangka ia akan disertai kira-kira 150 peserta dan kami akan jemput pakar dalam pengurusan keselamatan stadium,” katanya. – HMetro