Tugasan Pertama Tan Cheng Hoe Bertemu Mongolia

Kelana Jaya: Aksi persahabatan menentang Mongolia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 Mac ini menjadi ujian pertama buat jurulatih baru skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.



Perlawanan itu bakal menjadi medan persiapan buat Cheng Hoe dalam memantapkan skuadnya sebelum mengharungi aksi kelayakan Piala Asia 2019 terakhir berdepan Lubnan di Beirut.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, perancangan seterusnya untuk mengharungi Piala AFF Suzuki hujung tahun ini akan dibuat selepas berdepan Lubnan.

“Kita juga sedang membuat perancangan untuk mengadakan aksi persahabatan pada Mei dan Jun sebagai persiapan untuk menghadapi Piala AFF. Bagaimanapun, kita kena ikut kalendar yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).




“Barisan kejurulatihan Harimau Malaya akan mula membuat penilaian pemain Liga Super dan Liga Perdana bermula perlawanan pertama Liga Malaysia minggu ini,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, semalam.

Cheng Hoe belum mengharungi sebarang aksi bersama Harimau Malaya selepas dilantik sebagai pengganti Nelo Vingada, Disember lalu.




Selain itu, Hamidin turut tidak menolak kemungkinan sebahagian pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) tahun yang beraksi di Kejohanan AFC bulan lalu akan dipanggil Cheng Hoe untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

“Memperbaiki ranking Harimau Malaya memang dalam perancangan kita dan kita memberi ruang buat Cheng Hoe membentuk skuad mantap.

“Malah, hasil perbincangan dengan Presiden, Tunku Ismail (Sultan Ibrahim) juga, kita akan panggil Syamer Kutty Abba dan Dominic Tan yang kini berada di Portugal jika mereka terpilih untuk mewakili negara bagi Sukan Asia dan Piala AFF,” katanya.