Antonio Conte tidak berminat bimbing Itali

Image result for Antonio Conte italy

MILAN 5 Feb. – Pengurus Chelsea, Antonio Conte telah menyingkirkan dirinya sendiri sebagai jurulatih Itali, malah sebaliknya, pengendali sementara, Luigi Di Biagio mungkin menjadi calon pilihan, kata Penolong Pesuruhjaya Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), Alessandro Costacurta, hari ini.

Bekas bintang AC Milan, Costacurta telah diberi tanggungjawab untuk mencari pengganti Gian Piero Ventura yang telah dipecat selepas Itali tersingkir daripada Piala Dunia.



“Antonio Conte telah menarik diri. Kita perlu bersemangat dalam usaha untuk melakukan revolusi ini dan melaksanakan sesuatu yang hebat untuk bola sepak Itali, tetapi cukup jelas masih banyak kerja yang perlu dibuat.

“Jurulatih Itali yang baharu pada asasnya sahaja, tetapi ramai yang lupa terdapat beberapa calon yang masih terikat dengan kontrak, jadi sukar untuk membuat rundingan pada ketika ini.

“Conte pula telah mengulangi pendiriannya, bahawa dia mahu meneruskan tugasnya sebagai jurulatih di peringkat kelab untuk sekurang-kurangnya bagi tempoh 18 bulan akan datang, iaitu tempoh kontraknya di Chelsea, jadi, dia telah menarik diri.




“Masih terdapat beberapa calon lain. Sebagai contoh, Roberto Mancini yang memiliki kontrak dengan Zenit. Kami perlu mencari jalan siapa yang boleh kami dekati dan siapa pula tidak boleh berbuat demikian,” kata Costacurta kepada Sky Sport Italia.

Menurutnya, buat masa ini, jurulatih skuad Bawah-21 Tahun Itali, Di Biagio yang akan menggalas tanggungjawab sebagai pengendali pasukan dalam aksi persahabatan dengan Argentina dan England, bulan depan, mungkin akan ditawarkan jawatan penuh.




Bekas pemain tengah Itali, Di Biagio, 46, yang pernah beraksi bersama Roma, Inter Milan dan Lazio sewaktu kariernya sebagai pemain, dilihat sebagai calon bukan pilihan berbanding nama-nama popular seperti Mancini, Conte, Claudio Ranieri serta Carlo Ancelotti.

“Ia bukanlah idea yang pelik. Saya telah mengikuti perkembangan Di Biagio sejak beberapa tahun lalu, sewaktu dia membawa Itali menyertai Kejohanan Eropah Bawah-21 Tahun. Jika tiada sebarang perkembangan dalam masa terdekat ini, jurulatih baharu skuad kebangsaan akan diumumkan pada Jun nanti,” jelas Costacurta. – AFP