VAR belum tentu digunakan musim depan
PENGGUNAAN sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) belum pasti dilaksanakan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Malah, beliau menjelaskan pihaknya tiada perancangan untuk melakukan ujian terlebih dahulu terhadap sistem berkenaan kerana faktor kos yang sangat tinggi.
“Kita akan berikan perhatian kepada perkembangan semasa, khususnya selepas Piala Dunia. Kebiasaannya jawatankuasa teknikal (FIFA) akan mengeluarkan laporan mereka dan sudah tentu akan termasuk laporan berkaitan VAR.
“Begitu juga dengan laporan dari beberapa negara yang mengambil bahagian sebelum ini. Terdapat beberapa laporan yang agak negatif berkaitan VAR, jadi ia memerlukan perhatian semula yang lebih mendalam oleh FAM,” katanya yang kini berada di Doha, Qatar.
Berdasarkan perancangan awal, FAM bercadang menggunakan VAR dalam kancah Liga M musim ini sebelum dilaksanakan sepenuhnya tahun depan.
Namun, badan induk berkenaan menangguhkan hasrat itu kerana enggan terburu-buru menggunakan sistem terbabit yang jelas menelan belanja yang cukup besar dan membuat keputusan untuk melihat terlebih dulu penggunaan sistem itu pada Piala Dunia 2018 di Russia.
Beberapa liga di Eropah termasuk Bundesliga di Jerman dan Liga Perdana Inggeris juga sudah menggunakan sistem berkenaan sebagai langkah memperkemaskan keputusan pengadil.
Walaupun VAR mampu memberikan keputusan lebih tepat, namun sistem berkenaan turut mengundang pelbagai kritikan mengenai kelemahannya.
Antara individu yang melontarkan kritikan termasuk pengurus Chelsea, Antonio Conte dan rakan sejawatnya di Arsenal, Arsene Wenger yang kecewa dengan jumlah tambahan masa di babak kedua kerana berlaku penangguhan masa permainan kerana masalah kecederaan dan VAR.