Copa del Rey : Sevilla tempah tiket final

SEVILLE, Sepanyol: Sevilla bangkit daripada kekalahan memalukan di tangan Eibar untuk menempah tiket ke final Piala Raja Sepanyol buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun, menewaskan Leganes 2-0 awal pagi tadi pada aksi kedua separuh akhir sekali gus mara dengan agregat 2-1.



Pemain tengah Argentina, Joaquin Correa meledak gol pembukaan dengan melorongkan bola ke gawang pada minit ke-15 selepas penyerang Colombia, Luis Muriel meluru masuk ke kawasan lawan.

Jurulatih Sevilla Vincenzo Montella mempertaruhkan reputasinya dengan menurunkan barisan kedua ketika perlawanan menentang Eibar yang menyaksikan mereka tewas 1-5 Sabtu lalu, namun tindakannya berbaloi apabila skuadnya menewaskan Leganes dan Franco Vazquez menggegar gawang lawan pada minit ke-89.

REAKSI pemain Leganes gagal ke final selepas dikecewakan oleh Sevilla pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sanchez Pizjuan, sebentar tadi. – Foto AFP




“Kami tahu bagaimana untuk bangkit bersama selepas dikecewakan dan tahu bagaimana membentuk sebuah pasukan dan hasilnya kami berada di final. Ia memberi kami motivasi penting untuk baki musim ini,” kata Montella.

Leganes mempamerkan kejutan besar dengan menyingkirkan Real Madrid pada pusingan sebelumnya dan terus berjuang namun mereka bergelut mencari gol awal, hanya membuat satu percubaan ke atas penjaga gol Sergio Rico, yang melepaskan bola ke gawang sendiri pada perlawanan pertama.

“Kami berbangga dengan semua pemain yang mencuba dan memberikan segala-galanya  tetapi lawan kami jauh lebih baik,” kata jurulatih Leganes  Asier Garitano.




“Apabila anda memberikan segala-galanya anda tidak boleh mengharapkan apa-apa lagi, kita lihat apa reaksi selepas ini dan fokus terhadap objektif kekal di liga utama tahun depan.”

Juara tiga kali Barcelona berkunjung ke Valencia awal pagi esok dalam satu lagi aksi separuh akhir dengan kelebihan 1-0 daripada perlawanan pertama.

Pemenang akan menentang Sevilla pada perlawanan akhir 21 April ini. – Reuters