Farhan Kecewa Dengan Penyebaran Maklumat Gaji Di Media Sosial

No automatic alt text available.

Kelmarin, dokumen mengenai senarai gaji semua pemain pasukan Kedah didedahkan secara meluas di laman media sosial dan aplikasi whatsapp yang dipaparkan menerusi satu muka surat penuh membabitkan pembayaran gaji pemain itu untuk musim 2017 dan juga musim 2018.



Dipercayai dokumen ini disebarkan oleh staff Kedah FA sendiri kerana maklumat ini hanya mampu diakses oleh mereka.

Dokumen ini juga turut mendedahkan Kedah memperuntukkan antara USD15,000-20,000 (RM58,623-78,164 berdasarkan kadar tukaran mata wang asing USD-Ringgit) untuk 2 lagi pemain import mereka.

Salah seorang pemain daripada skuad Kedah, Farhan Roslan bercakap kepada Berita Harian kecewa dengan penyebaran maklumat berhubung gaji pemain yang viral di laman sosial dan menganggap ia merupakan perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

“Kandungan serta maklumat yang disebarkan itu mungkin dilakukan untuk tujuan tertentu dan saya tidak menolak kemungkinan ia bertujuan merosakkan reputasi serta tumpuan pemain Kedah dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

“Benda ini tak elok dan mungkin ada pihak yang tidak berpuas hati serta mahu menjatuhkan maruah pemain.. bagi saya perbuatan ini tak betul dan sangat tidak bertanggungjawab,” katanya.




Farhan yang enggan mengulas lanjut mengenai kesahihan maklumat berkenaan berkata, perbuatan individu tidak bertanggungjawab itu menjejaskan reputasi pemain Kedah.

Farhan berharap peminat dan penyokong skuad Lang Merah tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran berita berkenaan.

Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan individu terbabit yang menyebarkan maklumat itu.




“PFAM mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak yang sangat tidak bertanggungjawab dalam membocorkan maklumat gaji para pemain pasukan Kedah bagi musim 2018. Perihal gaji merupakan perkara yang amat sensitif dan kebocoran ini merupakan sebuah pencabulan privasi terhadap para pemain.

“Melalui kebocoran ini juga, ia boleh memberi ancaman keselamatan kepada pemain dan keluarga masing-masing. Malah, keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya maklumat yang dipaparkan itu adalah tidak benar dan sekaligus akan memberikan kesan negatif kepada para pemain,” kata Setiausaha PFAM yang juga bekas pemain Kedah, Ahmad Fauzi Saari.