Ultras Kuala Lumpur Boikot, KLFA Nafi Gadai Kuota Tiket Kepada JDT

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa (gambar kecil) menafikan dakwaan kononnya KLFA sanggup menyerahkan kuota jualan tiket sebanyak 80 peratus kepada penyokong-penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) dan 20 peratus diperuntukkan kepada peminat pasukan tuan rumah.



Hari ini, Kuala Lumpur bakal menanti kunjungan skuad Harimau Selatan di Stadium Kuala Lumpur, Cheras untuk aksi ketiga Liga Super.

Bagaimanapun timbul dakwaan bahawa KLFA sanggup ‘menggadaikan’ kuota tersebut kepada peminat-peminat luar berbanding penyokong sendiri demi kepentingan peribadi.

Mengulas mengenai situasi itu, Nokman menegaskan, tuduhan tersebut tidak berasas ke­rana KLFA sentiasa menjaga kebajikan peminat-peminat skuad The Hawks.




Semalam Kumpulan penyokong Ultras pasukan Kuala Lumpur, iaitu Ultras Kuala Lumpur yang turut dikenali sebagai ‘The City Boys’ mengumumkan bahawa mereka ‘tidak akan beraksi’ untuk memberi sokongan ketika pasukan Kuala Lumpur berhadapan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).