Bolos awal, stadium senyap musnahkan Perak

Perak gagal mengekalkan permulaan cemerlang dalam saingan Liga Super musim ini apabila tewas 2-0 kepada PKNS FC dalam saingan yang “senyap” di Stadium Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) Lumut, semalam.

Turun buat pertama kali di halaman sendiri, Perak seperti hilang rentak tanpa laungan dan sorakan penonton yang kebiasaannya kedengaran meriah mengiringi skuad The Bos Gaurus.



Sebelum ini, jawatankuasa disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan denda ke atas kes kelakuan penonton dan penganjuran perlawanan terhadap Perak atas kesalahan yang berlaku dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2017 ketika Perak menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh.

“Tiada jiwa. Apa yang perlu dibuat, dilakukan. Anda boleh lihat rentak perlawanan seperti mati tanpa penonton. Saya tidak pernah melihat keadaan sebegini dalam perlawanan sebenar,” ujar ketua jurulatih, Mehmet Durakovic.

Perak hilang suntikan peminat dan gagal memanafaatkan peluang manakala PKNS bijak menggunakan kelebihan serta mempamerkan displin yang tinggi.




“Mereka (PKNS) memerangkap kami dengan gol seawal minit kedua. Kemudian, mereka bertahan dengan begitu baik walaupun Perak cuba bangkit dan membuat beberapa serangan berbahaya.

“Namun, itulah keputusannya,” tambah Durakovic.

Bagi pengendali PKNS, K. Rajagobal, dia mampu menarik nafas lega apabila membawa pulang tiga mata berharga.

“Jaringan awal telah mengubah suasana. Gol itu memberi kami peluang untuk bernafas dan merencanakan rentak permainan. Walaupun Perak agresif memberi tekanan, pemain-pemain saya tetap disiplin dan fokus,” katanya.

Dua jaringan PKNS disumbangkan pemain import dari Brazil, Rafeal Ramazotti di minit kedua dan 62.