VIDEO City benam Basel, Juventus, Spurs terikat aksi Liga Juara-Juara

BASEL, Switzerland: Dua jaringan Ilkay Gundogan membantu Manchester City membenam FC Basel di sini, sebentar tadi, untuk meletakkan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu kian hampir mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara.

Pasukan bimbingan Pep Guardiola itu hanya memerlukan 23 minit untuk berada selesa di depan apabila berjaya mendahului tuan rumah 3-0 dalam saingan berlangsung di Stadium Sankt Jakob Park.



Tiga jaringan pertama itu hadir dalam tempoh sembilan minit. Ia bermula menerusi tandukan Gundogan pada minit ke-14, disusuli rembatan kencang Bernardo Silva (minit ke-18) dan tendangan jarak jauh Sergio Aguero, lima minit selepas itu.

Nasib malang FC Basel terus bertambah selepas permainan disambung semula apabila Gundogan tampil sekali lagi untuk menjaringkan gol keempat City pada minit ke-53.




Sementara itu Harry Kane dan Christian Eriksen membantu Tottenham Hotspur bangkit untuk mengikat Juventus 2-2 dalam aksi yang seolah-olah milik Gonzalo Higuain pada saingan pertama peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara, di Turin awal pagi tadi.

Higuain menjaringkan dua gol dalam tempoh sembilan minit pertama untuk finalis kejohanan sebanyak dua kali dalam tempoh tiga musim itu, pada saingan berlangsung di Stadium Allianz.

Bintang Argentina itu meledak gol pertama hanya selepas 73 saat permainan berlangsung, disusuli jaringan kedua pada minit kesembilan menerusi penalti untuk meletakkan pasukan bimbingan Mauricio Pochettino dalam keadaan tertekan.

Namun pemain berusia 30 tahun itu terlepas dua peluang keemasan untuk mengukuhkan kedudukan Juventus di laman sendiri pada separuh masa, termasuk sepakan penalti kedua yang terkena palang.




Kane berjaya membantu Spurs kembali bangkit untuk merapatkan kedudukan pada minit ke-35 dengan menyempurnakan umpanan Dele Alli, melepasi jangkauan penjaga gol Gianluigi Buffon.

Eriksen kemudian berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-70 menerusi sepakan percuma selepas pertahanan tengah tuan rumah, Giorgio Chiellini mengasari Alli.