FAS dihantui skandal atur perlawanan
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung kes mengatur perlawanan membabitkan dua pemainnya dengan seorang bookie.
Beliau yang dihubungi semalam berkata, buat masa ini, dua pemain berkenaan, Mazwandi Zekeria, 29, dan Mohd. Hafiz Abu Bakar, 28, bersama bookie, Mohamad Zaiman Rosli, 34, direman enam hari sehingga 21 Februari bagi membantu SPRM menjalankan siasatan.
“Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara ini kerana tidak mahu mengganggu proses siasatan.
“Buat masa ini, FAS menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan kerana mungkin ada pemain-pemain lain yang terlibat,” katanya.
Mengulas lanjut, Posa memberitahu, FAS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bersalah dalam perkara ini.
Katanya, perkara itu tidak seharusnya berlaku dan diharap apa yang berlaku ketika ini dijadikan pengajaran kepada semua pemain, jurulatih dan pegawai-pegawai dalam persatuan.
“Saya juga sudah membuat pertemuan dengan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) di Kuala Lumpur semalam bagi membincangkan kontroversi membabitkan dua pemain tersebut.
“Kedua-dua pihak buat masa ini sepakat untuk membiarkan SPRM menjalankan siasatan lebih terperinci sebelum membuat keputusan selanjutnya,” ujarnya.
FAS dibelenggu skandal pengaturan perlawanan susulan kekalahan mengejut Sarawak di tangan Felcra FC 2-3 dalam aksi Liga Premier 2018 di Stadium Negeri Petra Jaya, Kuching 10 Februari lalu.
Pada perlawanan itu, Sarawak yang mendahului 2-0 sehingga minit ke-85 tiba-tiba dengan mudah dibolosi tiga gol pada minit-minit terakhir saingan.
Susulan aksi tersebut, Posa mengeluarkan kenyataan pada Ahad lalu yang mendakwa FAS menerima laporan terdapat pemain Sarawak dipercayai terlibat dalam aktiviti mengatur perlawanan.
“FAS memandang serius perkara itu dan mengarahkan pengurus pasukan, Kolonel (PA) Wahab Abdul Rahim untuk mengetuai siasatan dalaman bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil,” jelas Posa dalam kenyataan itu.