Ligue 1: Cavani, Neymar cetus kebangkitan PSG

PARIS: Edinson Cavani meledak dua gol ketika Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan Strasbourg 5-2, awal pagi tadi sekali gus meredakan tekanan buat pendahulu Ligue 1 itu susulan kekalahan di Liga Juara-Juara kepada Real Madrid.



Strasbourg meledak gol awal menerusi Jean Eudes Aholou seawal minit keenam, tetapi PSG menyamakan kedudukan menerusi Julian Draxler empat minit kemudian susulan hantaran Neymar yang turut meledak pada minit ke-21.

Angel Di Maria menjadikan kedudukan 3-1, seminit selepas jaringan Neymar dengan memanfaat sepenuhnya kesilapan pertahanan Strasbourg.

Stephane Bahoken merapatkan kedudukan buat pelawat yang tampak untuk bangkit apabila menjaringkan gol pada minit ke-67 tetapi gol ke-22 dan 23 Cavani dalam liga musim ini mengesahkan kemenangan skuad kendalian Unai Emery.




“Kemenangan penting selepas perlawanan pada Khamis lalu (Liga Juara-Juara). Kami menang dalam kesemua perlawanan di tempat sendiri,” kata Emery yang kali terakhir skuad kendaliannya menggugurkan mata di Parc des Princes pada Mei lalu.

“Kami perlu menunjukkan yang kami boleh mengekalkan tahap permainan seperti ini menentang pasukan-pasukan besar, tanpa menunjukkan sebarang rasa kurang hormat kepada Strasbourg.




“Kami bercakap mengenainya (kekalahan di Madrid) di bilik persalinan. Sudah tentu mereka mengingati perlawanan itu. Ia normal jadi penting untuk kami bercakap perkara yang positif. Kami merasa amat kuat di Parc.”

Selepas tidak menyenaraikan kapten, Thiago Silva dan Di Maria ketika kekalahan 3-1 kepada Real, Emery kembali membariskan dua tonggaknya itu tetapi ia tidak menghalang segelintir peminat untuk mengejek pengendali dari Sepanyol itu. – AFP