VIDEO Penalti Lewandowski selamatkan Bayern Munich

BERLIN: Robert Lewandowski menyempurnakan penalti pada minit ke-91 bagi membantu pendahulu Bundesliga, Bayern Munich melakar kemenangan 2-1 di Wolfsburg, awal pagi tadi.



Keputusan meneruskan deretan kemenangan Bayern kepada 13 perlawanan selain mengukuhkan kedudukan gergasi Jerman itu di puncak liga dengan kelebihan 21 mata.

Menanti kunjungan Besiktas di perlawanan pertama peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara, Rabu ini, Bayern merehatkan beberapa tonggak tetapi ia hampir membawa padah.

Penyerang Wolfsburg, Daniel Didavi meletakkan tuan rumah di depan ketika penalti yang diperoleh Bayern pada babak kedua gagal disempurnakan pemain sayap, Arjen Robben.




Tandukan Sandro Wagner menyamakan kedudukan buat Bayern pada minit ke-64 sebelum Lewandowski yang turun selaku pemain gantian menjaringkan gol kemenangan menerusi penalti pada masa kecederaan.

“Ia cukup untuk memenangi perlawanan, sekalipun tidak nampak begitu menarik untuk berada di atas puncak (liga), ia menjadikannya seronok. Pasukan ini menakjubkan,” kata kapten Bayern, Thomas Mueller.

Jurulatih Bayern, Jupp Heynckes menyenaraikan pasukan agak lemah dengan merehatkan David Alaba, Jerome Boateng, Mats Hummels, Joshua Kimmich, Mueller dan Lewandowski di bangku simpanan.




Wolfsburg memanfaat permulaan perlahan Bayern apabila menjaringkan gol seawal minit ke-8 apabila hantaran Yunus Malli ditanduk oleh Didavi yang memaksa Heynckes membawa masuk Mueller, Alaba dan Lewandowski selepas sejam perlawanan berlangsung.

Sementara itu, Bayer Leverkusen mendaki ke tangga kedua selepas mencatat kemenangan 2-1 di Hamburg dengan Schalke melangkah ke tangga kelima susulan kemenangan 2-1 di laman sendiri melawan Hoffenheim. – AFP