Pengumuman FMLLP “kejut” Kuala Lumpur

Pengumuman FMLLP

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, mengakui terkejut apabila Kuala Lumpur diumumkan sebagai pasukan yang gagal melengkapkan dokumen pendaftaran bagi saingan pada musim ini.



Kuala Lumpur merupakan antara pasukan yang dilaporkan gagal menghantar dokumen yang tepat bersama Kelantan selepas diumumkan oleh Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), manakala Selangor dan pendahulu Liga Super, PKNS FC, terlibat dalam masalah lewat menghantar dokumen.

Bagaimanapun, Nokman tidak menafikan pihaknya mungkin terlepas pandang beberapa perkara selepas pejabat KLFA berpindah ke Stadium KLFA, Cheras.




“Saya sendiri terkejut dengan perkara ini kerana pada pandangan saya, kami telah menyelesaikannya tetapi mungkin ada sedikit kesilapan dalam proses pendaftaran pasukan dan pemain. Jadi, ada sedikit kekeliruan,” kata Nokman.

Berlandaskan situasi itu, Nokman kini mengharapkan FMLLP dapat memberikan pertimbangan sewajarnya agar skuad The City Boys tidak dikenakan sebarang hukuman.

“Sebenarnya, kami tiada masalah untuk melakukan sebarang pembayaran, cuma mungkin terdapat sesetengah aspek yang terlepas pandang.”