VIDEO Piala FA: Spurs diikat kelab bawahan Rochdale
LONDON 19 Feb. – Nasib Tottenham Hotspur dalam saingan Piala FA masih belum dapat diputuskan selepas mereka dikejutkan dengan keputusan seri 2-2 oleh kelab bawahan Rochdale pada pusingan kelima, hari ini.
Kelihatannya penalti yang disempurnakan oleh Harry Kane dua minit sebelum waktu sebenar perlawanan tamat yang meletakkan pasukan pelawat mendahului 2-1, telah membuka laluan buat Spurs ke peringkat lapan terbaik.
Bagaimanapun, jaringan penyamaan Steve Davies pada masa kecederaan telah membantu Rochdale mengikat kelab London itu dengan keputusan 2-2, bagi mengheret Spurs beraksi dalam perlawanan ulangan di Wembley yang merupakan stadium sementara buat pasukan itu sementara menanti White Hart Lane siap dibina.
Spurs turut berdepan kisah yang sama di pusingan keempat, apabila mereka mereka terpaksa beraksi dalam perlawanan ulangan di Wembley yang akhirnya berpihak kepada skuad bimbingan Mauricio Pochettino itu ketika menentang kelab divisyen empat, Newport County.
Pasukan yang muncul pemenang pada pertemuan 16 terbaik bakal beraksi menentang sama ada Sheffield Wednesday ataupun Swansea, yang juga dipaksa beraksi dalam perlawanan ulangan setelah diikat dengan keputusan tanpa jaringan di Hillsborough, Sabtu lalu. – AFP