Kerja keras jika mahu setanding Messi, Ronaldo – Hazard

Image result for Eden Hazard

LONDON 20 Feb. – Eden Hazard mengakui dia perlu mempamerkan bakatnya lebih daripada biasa dalam perlawanan Liga Juara-Juara, jika dia berhajat untuk dibandingkan secara adil dengan pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or, Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo.



Hazard bakal bertentang mata dengan Messi apabila Barcelona bertandang ke Stamford Bridge dalam timbal balik pertama peringkat 16 terbaik, awal pagi esok.

“Memang bagus dibandingkan dengan pemain hebat seperti Messi atau Ronaldo. Saya cuba menjalankan tanggungjawab saya dan mencapai tahap mereka, kerana mereka merupakan pemain terbaik di dunia.

“Setiap musim saya cuba memberikan yang terbaik. Apabila kami bermain dalam perlawanan seperti ini, kami perlu mempamerkan tahap permainan yang berkualiti.




“Jika anda mahu menjadi antara yang terbaik, anda perlu beraksi dengan baik dalam perlawanan besar. Ini merupakan perlawanan yang amat penting,” kata Hazard.

Hazard telah lama dikaitkan dengan perpindahan ke kelab seteru Barca, Real Madrid, dan walaupun menegaskan dia gembira berada di London, pemain itu enggan menolak bulat-bulat tentang peluangnya berpindah ke Sepanyol.

“Saya masih memiliki baki kontrak dua tahun. Saya gembira di sini, keluarga saya juga gembira di sini. Saya cuma fokus kepada perlawanan esok dan memberikan tumpuan sehingga musim berakhir. Saya tidak begitu memikirkan tentang masa depan kerana anda tidak akan tahu apa yang bakal berlaku kelak,” jelas Hazard.




Hazard, yang merupakan penjaring terbanyak Chelsea dengan 15 gol musim ini, dinamakan pemain tengah Barca, Ivan Rakitic sebagai ancaman paling berbahaya buat Catalan.

“Bagi saya dia seorang pemain yang sangat bahaya. Dia mungkin pemain paling penting untuk Chelsea. Kami perlu bersedia untuk menghalang dia.

“Dia amat laju ketika berdepan satu lawan satu. Dalam aksi terakhirnya, Hazard benar-benar berada pada prestasi terbaik dan kami perlu bersedia berdepan dengannya,” kata pemain Croatia itu ketika diajukan pertanyaan sama ada Hazard merupakan pemain berkelas dunia ataupun tidak. – AFP