FMLLP diminta mansuh hukuman potong mata

KUALA LUMPUR: Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) disarankan memansuhkan hukuman pemotongan mata sebaliknya mencari kaedah lain bagi menghukum persatuan yang gagal memenuhi syarat pendaftaran.

Ini kerana kaedah pemotongan mata diamalkan sekarang dilihat bukan saja tidak adil kepada pemain malah boleh membunuh semangat mereka yang sedang berjuang dalam liga.



Bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, pemain tidak sepatutnya dijadikan mangsa kepada kecuaian dilakukan persatuan sebaliknya hukuman patut dikenakan ke atas pentadbir bola sepak sesebuah pasukan.

“Kasihan pemain, bayangkan mereka bermandi peluh, bertungkus-lumus di tengah padang untuk mendapatkan mata, tiba-tiba ia dipotong. Ternyata ia tidak adil kepada mereka.

“Tidak mustahil tindakan pemotongan mata itu akan menyebabkan pemain hilang semangat untuk bermain bersungguh-sungguh selepas itu dan prestasi pasukan akan merudum. Ia secara tidak langsung pasti turut menjejaskan kemeriahan liga.

“Saya berpendapat yang patut dihukum adalah persatuan bukan pasukan. Apakah bentuk hukuman, ia boleh difikirkan FMLLP kerana saya bukan pakar undang-undang,” katanya.

Wan Jamak berkata, walaupun pemansuhan hukuman pemotongan mata itu bakal mencetuskan kontroversi kerana ia sudah dilaksanakan ke atas beberapa pasukan pada musim lalu, namun ia tetap perlu dilakukan demi kebaikan bola sepak negara.




“Ini undang-undang ciptaan manusia, bukan dari tuhan, ia boleh diubah. Sudah tentu ada yang akan mempertikai atau memperlekehkan FMLLP kerana tidak konsisten dengan pendirian mereka tapi mereka (FMLLP) mesti berani melakukan penambahbaikan,” tegas Wan Jamak.

Kelmarin, FMLLP mendedahkan empat pasukan Liga Super, Selangor, PKNS FC, Kuala Lumpur dan Kelantan gagal memenuhi syarat pendaftaran pasukan meskipun sudah diberi peringatan serta peluang berbuat begitu.

Turut terpalit dengan isu itu ialah adalah enam pasukan Liga Perdana – Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA (sekarang dikenali sebagai Marcerra Kuantan FA), PDRM, UKM FC dan MISC-MIFA.

Jika bersandarkan hukuman dikenakan ke atas Kelantan, T-Team, Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) musim lalu, 10 pasukan itu berada dalam bahaya dipotong mata.




Bagaimanapun Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook Southern Tigers, kelmarin tidak bersetuju andai FMLLP mengenakan tindakan pemotongan mata seperti dilaksanakan musim lalu.

Ia bagi mengelak spekulasi buruk terhadap beliau atau pasukan Johor Darul Ta’zim yang mungkin dianggap mahu mensabotaj pasukan lain. – BH