UEFA Gantung Samir Nasri 6 Bulan

Image result for Samir Nasri

LONDON 27 Feb. – Samir Nasri digantung daripada sukan bola sepak bagi memberi laluan kepada siasatan terhadap dirinya yang didakwa mengambil rawatan hidrasi intervena di salah sebuah klinik di Los Angeles.



Peguam pemain itu memberitahu Press Association bahawa dia dikenakan penggantungan selama enam bulan oleh UEFA.

Bekas pemain Arsenal dan Manchester City itu didakwa mengambil 500 mililiter (ml) air steril yang mengandungi komponen nutrien mikro pada 26 Disember 2016 ketika bercuti.

Ketika itu dia merupakan pemain pinjaman kepada Sevilla dan Nasri dilaporkan berasa kurang sihat selain muntah sebelum mendapatkan rawatan daripada bekas teman wanitanya, Dr. Sarabjit Anad yang memberikan diagnosis awal.




Nasri kemudian menerima rawatan daripada syarikat perubatan swasta di bilik hotelnya dan kemudian memuat naik gambar bersama pengasas syarikat itu, Jamila Sozahdah yang menjadi perhatian orang ramai.

Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) menerusi peraturannya menetapkan hanya 50ml air campuran seperti itu dibenarkan dalam tempoh enam jam bagi atlet yang masih aktif.

Sevilla kemudiannya mengemukakan permohonan untuk mendapatkan pengecualian rawatan buat Nasri tetapi UEFA kemudiannya menolak permohonan itu sebelum di bawa ke perhatian Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).




“Benar (Nasri digantung) tetapi hanya untuk enam bulan sahaja,” kata peguam yang enggan namanya didedahkan.

Nasri kini merupakan pemain bebas selepas meninggalkan kelab Turki, Antalyaspor, Januari lalu selepas hanya enam bulan beraksi.- AGENSI