Antonio Conte Pilihan Nombor Satu Itali

MILAN: Pengurus Chelsea, Antonio Conte pilihan nombor satu Itali bagi jawatan ketua jurulatih kebangsaan, dedah Naib Pesuruhjaya Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC), Alessandro Costacurta, semalam.



“Saya belum membuat pilihan tetapi saya fikir Conte adalah yang terbaik,” kata Costacurta kepada Gazzetta dello Sport. “Saya sudah pasti akan bercakap dengannya dalam masa beberapa bulan lagi.”

Bekas bintang AC Milan, Costacurta diberikan tugas untuk mencari pengganti kepada Gian Piero Ventura yang dipecat selepas kegagalan Itali ke Piala Dunia.

Conte, 48, mengemudi Itali pada 2014 dan membawa skuadnya ke suku akhir Euro 2016 sebelum mengambil alih tugas mengendali Chelsea.

Calon-calon lain termasuklah Roberto Mancini, Claudio Ranieri dan Carlo Ancelotti.




“(Conte) sudah pun menunjukkan dia tahu bagaimana untuk menjadi jurulatih skuad kebangsaan ketika pilihan lain tidak memilikinya,” kata Costacurta.

Conte mengemudi Chelsea kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim pertamanya tetapi penyandang juara itu ketika ini menghuni tangga kelima liga dan ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu, Manchester City.

“Ia tidak bermakna saya tidak gembira dengan Mancini atau Ancelotti, sekali pun (Ancelotti) nampak seperti sudah mengeluarkan dirinya daripada senarai itu.




“Saya tidak akan melihat pengurus di dalam liga (Gian Piero) Gasperini (jurulatih Atalanta) dan (Marco) Giampaolo (jurulatih Sampdoria). Saya memberitahu kamu saya juga tidak akan menghubungi (Gennaro) Gattuso (jurulatih AC Milan).

“Ia nampak terlalu awal. Saya yakin dia akan menjadi jurulatih kebangsaan untuk beberapa tahun lagi kerana dia mempunyai segala-galanya, karektor, kekerasan. Saya amat menggemarinya, tetapi memilihnya ketika ini pasti buruk buatnya.”

Jurulatih skuad bawah 21 tahun Itali, Luigi Di Biagio ketika ini mengendalikan tugas selaku jurulatih sementara bagi aksi persahabatan menentang Argentina dan England, bulan depan. – Reuters