Mohd. Azraai Khor jurulatih baharu Negeri Sembilan

Image may contain: 3 people, people smiling

SEREMBAN 28 Feb. – Jurulatih yang pernah membawa Negeri Sembilan memenangi Piala Malaysia pada 2011, Mohd. Azraai Khor Abdullah, hari ini dilantik sebagai Ketua Jurulatih pasukan Liga Super Negeri Sembilan.



Beliau menggantikan Jorg Peter Steinebrunner, 45, yang meletakkan jawatan.

Majlis menandatangani kontrak pelantikan itu telah diadakan di Wisma Negeri di sini tengah hari ini dengan disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).

Bercakap kepada para pemberita selepas majlis itu, Mohamad berkata, PBNS percaya kebolehan, kewibawaan dan pengalaman Mohd. Azraai mampu membantu pasukan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super musim ini.




Katanya, pihaknya menyerahkan kepada jurulatih itu membuat perubahan kepada strategi dan gandingan pemain yang diperlukan bagi membolehkan Negeri Sembilan memberi saingan lebih baik.

“Kami mempunyai harapan yang tinggi terhadap beliau tetapi percaya jurulatih ini mampu memberi nafas baharu kepada pasukan dan peminat bola sepak di negeri ini,” katanya.




Sejak Liga Super musim ini bermula 3 Februari lalu, Negeri Sembilan mengalami tiga kekalahan dan hanya mencatat satu kemenangan.

Pasukan itu mengalami kekalahan pertama 0-1 dalam perlawanan sulung menentang PKNP pada 3 Februari lalu, tumpas 0-3 ke atas Melaka United pada 11 Februari lalu dan tewas 1-2 kepada Terengganu, Jumaat lalu.

Negeri Sembilan hanya menang ke atas Kuala Lumpur 2-0 pada 7 Februari lalu.

Pasukan Hoben Jang Hoben itu kini terperosok di tangga ke-11 di hadapan Kuala Lumpur yang berada di kedudukan tercorot. – UTUSAN ONLINE