IFAB buat keputusan penggunaan VAR esok

ZURICH: Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB) dijangka mengeluarkan keputusan muktamad esok sama ada penggunaan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam sukan itu boleh diteruskan atau sebaliknya.

Ramai pihak yang terbabit dalam merangka dasar bola sepak berasa keputusan mengenai VAR memberikan kesan asas kepada bola sepak seperti yang sudah berlaku dalam beberapa ujian di beberapa kejohanan.



Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino adalah penyokong tegar VAR dan sudah berjanji akan menggunakan teknologi berkenaan dalam Piala Dunia Russia jika mendapat kelulusan IFAB.

Infantino berkata VAR akan melenyapkan semua kontroversi seperti yang terbukti dalam keputusan pengadil ketika memberikan penalti kepada Switzerland ketika pusingan kelayakan Piala Dunia menentang Ireland Utara November lalu.

Infantino juga menguatkan dakwaan dengan mengakui terdapat pengurangan kesilapan pengadil membuat keputusan jika VAR diguna pakai.

Namun terdapat juga persoalan mengenai keberkesanan pelaksanaannya yang dikatakan kerap menjejaskan tumpuan dalam bola sepak.




Dalam beberapa kes sebelum ini, pemain didapati terpinga-pinga menunggu keputusan pengadil sama ada diberi penalti atau tidak dan kemudian diberikan sepakan percuma menyebabkan timbul kekecohan dan bantahan.

Dalam kes lain pula, seluruh stadium meraikan gol yang dijaringkan manakala keputusan sudah diuar-uarkan menerusi laman web, namun selepas merujuk VAR, pengadil kemudian membatalkan gol berkenaan.

“Bagi saya ia keputusan negatif, pemain tidak akan berpelukan untuk meraikan jaringan seperti lazimnya, mereka sebaliknya akan merenung tepat ke arah pengadil untuk menunggu keputusan,” kata jurulatih Lazio, Simone Inzaghi.

“Ia akan meragut perasaan seronok daripada kita semua dan penyokong. Ia melenyapkan keseronokan daripada bola sepak.”

Tahun lalu, sebelum tempoh percubaan dilaksanakan, IFAB pernah menegaskan bahawa VAR akan ‘mengurangkan campur tangan, tetapi memberi impak maksimum’ apabila dilaksanakan kelak.

Menurut protokol IFAB, VAR hanya akan diguna untuk membuat keputusan mengenai sesuatu jaringan, penalti, layangan kad merah dan rujukan ke atas identiti pemain yang didapati mengelirukan.

Seorang pengadil ditugaskan memantau semua elemen di atas menggunakan alat komunikasi untuk interaksi dengan pengadil bertugas di atas padang.




Jika ada keputusan yang pelik maka insiden seperti itu segera dirujuk kepada pengadil yang mengendalikan VAR.

Pengadil di atas padang juga turut dibenarkan melihat rakaman insiden berkenaan menerusi monitor yang disediakan di tepi padang.

Pengarah Teknikal IFAB, David Elleray berkata pihaknya sedia meneliti empat pandangan bagi setiap perlawanan berbanding cadangan lain.

Pengadil dalam Serie A Itali pula didapati berjaya menggunakan teknologi berkenaan dalam menentukan keputusan penting sama ada membabitkan kedudukan ofsaid pemain, jika berlaku kesilapan pun ia tidak mencetuskan keributan.

Presiden UEFA, Aleksander Ceferin pula berkata VAR memerlukan masa lagi untuk dilaksanakan sepenuhnya dan memberi jaminan bahawa teknologi itu tidak akan diguna pakai dalam kempen Liga Juara-Juara musim depan walau apapun keputusan dibuat IFAB esok.

“Bagi saya, masih banyak kekeliruan berlaku dari masa ke semasa. Tetapi itu tidak bermakna saya menentang penggunaannya,” katanya. – Reuters