VIDEO Kelantan mara ke pusingan ketiga Piala FA

Piala FA: Kelantan mara ke pusingan ketiga

KOTA BHARU 2 Mac – Kelantan mudah melepasi pusingan kedua saingan Piala FA musim ini apabila menumpaskan Terengganu City FC 2-0 dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam ini.



Turun dengan misi memburu kemenangan, tuan rumah membuat asakan awal masing-masing menerusi Mohammad Ghaddar (minit ke-3) dan Ferdinan Sinaga (minit ke-4) namun gagal memecah kebuntuan jaringan.

Serangan bertali arus The Red Warriors (TRW) untuk mendapatkan jaringan akhirnya berhasil apabila tandukan Casio De Jesus gagal diselamatkan penjaga gol pelawat Muhammad Muslim Yusoff pada minit ke-24.




Empat minit berselang, jaringan Ghaddar dibatalkan oleh pengadil selepas dikesan berada dalam kedudukan offsaid oleh pembantu pengadil sekaligus merencatkan

hasrat penyokong setia TRW untuk bersorak gembira.

Minit ke-38, pelawat hampir berjaya menyamakan kedudukan namun dihampakan oleh kegopohan Mohd. Rahizi Mohd. Rasib yang gagak untuk menewaskan penjaga gawang Kelantan Khairul Fahmi Che Mat dan keputusan itu kekal hingga tamat separuh masa pertama.




Bersambung babak kedua, tuan rumah terus menggandakan asakan ke kubu pelawat namun dihantui oleh ketumpulan jentera serangan.

Bagaimanapun, Stadium Sultan Muhammad IV kembali bergema dengan sorakan kira-kira 7,000 penyokong setia TRW apabila pemain gantian Shafiq Sharudin menanduk masuk gol kedua tuan rumah pada minit ke-74.

Usaha tuan rumah untuk menambah jaringan selepas itu gagal apabila pelawat dilihat kental bertahan menyekat asakan bertali arus tuan rumah. – UTUSAN