Kelantan masih cari gandingan berbisa – Yusri

Yusri: Kami masih cari gandingan berbisa    

Pemangku Jurulatih The Red Warriors(TRW), Yusri Che Lah masih mencari gandingan penggempur terbaik selepas Kelantan mengalahkan Terengganu City FC (TCFC) 2-0 dalam saingan pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin.



Katanya, selepas kehilangan pemain tengah kreatif dari Korea Selatan, Do Dong-hyun, beliau mahu mencuba gandingan Mohammed Ghaddar bersama Bruno Lopes dan Ferdinand Sinaga bagi merobek benteng TCFC.

“Pujian kepada semua pemain yang berusaha bersungguh-sungguh mencari kemenangan kedua berturut-turut.

“Lebih menarik,selepas lima perlawanan, ini kali pertama gawang kita tidak dibolosi. Penjaga gol Apex (Khairul Fahmi Che Mat) cuma dua kali tangkap bola dalam 90 minit.




“Saya masih mencari gandingan penggempur terbaik sama ada Ghaddar dengan Lopes atau bersama Sinaga,” katanya.

Yusri, yang juga bekas Jurulatih Felcra FC mengakui gandingan tersebut memerlukan masa untuk menyerlah dan mahukan peminat terus memberi sokongan padu.

“Ramai (peminat) yang mempertikaikan kemampuan penyerang kita. Namun, saya melihat dari sudut positif. Mereka berusaha bersungguh-sungguh melakukan serangan untuk menjaringkan gol.




“Paling penting, beri masa kepada mereka membuktikan kemampuan sebenar,” katanya.

Yusri juga menghambur pujian kepada kaptennya, Mohd Badri Radzi atau Piya yang beraksi cukup cemerlang memimpin pasukan dan tidak putus memberi semangat kepada rakan.

“Piya cukup penting untuk pasukan. Biarpun belum menunjukkan aksi 100 peratus tetapi kehadirannya cukup memotivasikan pasukan,” katanya.