VIDEO JDT Ditentang Hebat Sebelum Menang Di Likas, TMJ Kecewa Pemain Lengah Masa

Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak diberi laluan mudah oleh Sabah apabila terpaksa bangkit daripada ketinggalan sebelum menang 2-1 dalam aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini. ​



Pada awal permainan, JDT dilihat menguasai perlawanan dan mendapat peluang baik menerusi Ahmad Hazwan Bakri pada minit kelima, namun percubaannya dari dalam kotak penalti terus ke dakapan penjaga gol Sabah, Robson Rendy Rining.

Bagaimanapun, Sabah mula mendapatkan rentak permainan mereka selepas itu dan akhirnya berjaya membolosi gawang JDT pada minit ke-24 menerusi Lee Gil Hoon.

Gol itu berpunca hasil gerakan satu dua Gil Hoon dengan Hector Omar Ramos yang kemudian disudahkan dengan baik dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, Sabah terus garang memburu jaringan dan hampir memperolehnya pada minit ke-50, bagaimanapun cubaan Ramos yang tidak dikawal tinggi melewati gawang.

Seminit berselang, kedudukan kembali seimbang apabila Luciano Figuero menemui sentuhan penyudah manakala pada minit ke-58, tuan rumah hampir mendapat gol kedua, namun hantaran lintang Heo Jaenyong gagal disambar Ramos.

JDT kemudian memiliki peluang baik pada minit ke-83 tetapi percubaan pemain gantian, Muhammad Safawi Rasid, dari dalam kotak penalti tinggi melepasi palang gol.




Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga tamat 90 minit perlawanan dan terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan.

Pada minit keempat masa tambahan, Gonzalo Gabriel meletakkan JDT di hadapan hasil rembatan kencangnya dari luar kotak penalti bagi menjadikan kedudukan 2-1.

JDT kemudian memiliki beberapa lagi peluang baik untuk menambah jaringan selepas itu, namun dua percubaan mereka berjaya diselamatkan Rendy.

Kedudukan 2-1 itu kemudian kekal sehingga pengadil perlawanan, Mohd Zohri Tajudin, meniupkan wisel penamat, sekali gus menyaksikan JDT mara ke pusingan seterusnya berbekalkan hanya kemenangan tipis.

Sementara itu Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim meluah kekecewaannya terhadap beberapa pemain.




Tunku Ismail menzahirkan kekecewaanya berhubung tindakan beberapa pemain JDT yang cuba melengahkan masa perlawanan ketika bertemu Sabah dalam aksi Piala FA, Sabtu malam.

“Pada saya, pengadil perlu memberikan kad kepada mana-mana pemain yang melengahkan masa perlawanan tidak kira mana-mana pasukan.

“Itu adalah penyakit di Malaysia yang perlu kita tangani dan hapuskan.

“Sudah lama kita lihat apabila sesebuah pasukan yang sedang mendahului, mereka mesti cuba untuk membuang dan melengahkan masa.

“Saya berharap mentaliti seperti ini tidak perlu ada dalam bola sepak tanah air ini,” jelasnya di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers.