Liga M: 10 pasukan dikenakan hukuman tertangguh

Liga M: 10 pasukan dikenakan hukuman tertangguh

“Ibarat peluang kedua,” demikian yang dapat dirumuskan apabila Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) mengenakan penangguhan hukuman untuk pemotongan mata ke atas 10 pasukan yang gagal melengkapkan dokumen pendaftaran pasukan Liga Malaysia 2018.



Perkara itu diumumkan Pengerusi FMLLP, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dalam satu sidang media di Johor Bahru, hari ini.

Tunku Ismail menjelaskan tindakan terhadap10 pasukan terbabit tetap dikenakan, namun hukuman untuk pemotongan mata terhadap mereka digantung sehingga pendaftaran liga musim depan.

Ini bermakna pasukan terbabit mempunyai peluang untuk tidak dikenakan pemotongan mata sekiranya berjaya melengkapkan dokumen pendaftaran dalam tempoh baru yang akan ditetapkan.

“Itu dinamakan penangguhan (pemotongan) mata. Kalau tiada perubahan daripada kelab terbabit , maka hukuman akan dijatuhkan.




“Kami memberi peluang kedua untuk memperbetulkan perkara yang tidak betul,” kata Tunku Ismail.

Sepuluh pasukan terbabit merangkumi empat pasukan Liga Super dan enam pasukan Liga Perdana yang melibatkan dua jenis kesalahan, iaitu lewat atau gagal menghantar dokumen pendaftaran Liga Malaysia musim ini.

FMLLP memberi tempoh selama 14 hari kepada pasukan terbabit untuk membuat rayuan.

“Dari sekarang sehingga pendaftaran liga tahun depan, semuanya berkait. Kalau dikenakan apa-apa tindakan dalam tempoh itu, maka mata itu terpaksa dipotong,” kata Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam.

Pasukan yang dikategorikan gagal melengkapkan dokumen pendaftaran adalah Kelantan, Kuala Lumpur, Kuantan FA, PDRM, Pulau Pinang dan Sarawak.

Sementara itu, Selangor, PKNS FC, MISC-MIFA dan UKM FC pula adalah skuad yang lewat menghantar dokumen pendaftaran pasukan. stadiumastro