Wenger masih degil pertahan jawatan, Henry sedia latih Arsenal

LONDON: Arsene Wenger menegaskan dia masih individu paling sesuai untuk menukar nasib Arsenal selepas tewas 2-1 kepada Brighton malam tadi yang menyaksikan Gunners mengalami kekalahan keempat berturut-turut dalam semua kejohanan.



Kekalahan 3-0 kepada Manchester City, pertama pada final Piala Liga dan kedua dalam liga boleh menceritakan dominasi Pep Guardiola dengan pasukannya kini berada di persada, namun kekalahan kepada Ostersunds dalam Liga Europa dan Brighton sesuatu yang memalukan.

Kekalahan kelapan Arsenal sejak permulaan musim mengancam usaha mereka untuk kedudukan empat teratas dengan Wenger mengakui ia “sudah tiada” sebelum Gunners ketinggalan 13 mata daripada empat pasukan teratas.

Peluang terbaik mereka layak ke kejohanan elit, Liga Juara-Juara jika menang kejohanan kelas kedua, Liga Europa dengan Arsenal akan berdepan gergasi Itali, AC Milan pada pusingan pertama dari dua perlawanan kelompok 16 terakhir di San Siro awal pagi Jumaat ini.




Bos veteran dari Perancis itu mengetuai Arsenal sejak 1996 dan masih belum pasti sama ada pemilik berpangkalan di Amerika Syarikat, Stan Kroenke akan memecat pengurus itu yang masih belum pernah memberi sebarang petanda dia akan bersara.

“Ia kali pertama berlaku dalam seluruh karier saya dan ia bukan mudah,” kata Wenger kepada Sky Sports.

“Saya ada pengalaman yang cukup dan keinginan untuk menukar keadaan. Apabila pasukan bergelut untuk mendapatkan keyakinan, ia lebih sukar.”

Mengenai Arsenal yang kini sudah tidak boleh berkedudukan empat teratas, Wenger berkata: “Saya rasa ia sudah tiada tetapi secara matematik dengan lima pasukan di depan kami, kami akan pengsan jika memikirkan ia akan terjadi.”




Sementara itu Legenda Arsenal, Thierry Henry bersedia untuk menggalas tanggungjawab selaku pengurus baharu sekiranya Arsene Wenger bertindak mengosongkan jawatannya bersama The Gunners.

Henry begitu terdesak untuk melihat pengendali dari Perancis itu melepaskan jawataannya selepas memulakan karier bersama kelab utara London itu pada 1996.

Bekas penyerang Perancis yang kini bertugas selaku pembantu kepada pengendali Belgium, Roberto Martinez menyatakan kesediaannya untuk menggalas tanggungjawab itu seandainya diberikan peluang.

“Saya adalah orang yang sentiasa menyahut cabaran sejak dari usia muda.

“Sekiranya saya mendengar kata-kata orang mengenai masa depan saya, sudah pasti saya tidak akan berada di sini (pembantu pengurus Belgium),” katanya.