Piala FA: Kedah, Pahang berentap lagi

KUALA LUMPUR: Bahang saingan Piala FA semakin ‘panas’ apabila juara bertahan, Kedah diundi bertemu salah satu pasukan pilihan, Pahang pada pusingan ketiga.



Pertemuan kedua-dua pasukan pencabar kejuaraan itu juga ibarat ulangan aksi final tahun lalu yang menyaksikan Kedah menewaskan Pahang 3-2 di Stadium Shah Alam.

Penolong pengurus Pahang, Datuk Che Nasir Salleh, berkata skuad Tok Gajah kendalian Dollah Salleh tidak menyimpan sebarang perasaan dendam ke atas Kedah namun mereka tidak rela dikecewakan sekali lagi kali ini.

“Bagi saya tak ada masalah, semua pasukan bersedia, pada final tahun lalu Pahang kalah, sekarang dapat jumpa awal, jadi kedua-dua pasukan tahu kemampuan masing-masing, kedua-dua pasukan nak menang, jadi ia perlawanan yang menarik.

“Dalam sukan tidak ada dendam, tapi semangat untuk menang memang kita akan terapkan kepada pemain,” katanya selepas selesai majlis undian hari ini.




Kedah, juara empat kali Piala FA dan kini dikendalikan oleh Ramon Marcote melepasi pusingan kedua selepas berhempas pulas mengalahkan Negeri Sembilan 1-0 manakala Pahang yang juga juara dua kali turut bergelut sebelum menewaskan ATM 2-1.

Sementara itu, juara Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) pula dilihat tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan seterusnya apabila bertandang ke Shah Alam bertemu UiTM FC, namun nasib berbeza menimpa juara lima kali kejohanan, Selangor.

Skuad Red Giants bakal mengharungi laluan sukar pada pusingan ketiga apabila diundi menentang pasukan Liga Super yang berada di prestasi terbaik Terengganu di Kuala Terengganu manakala PKNS FC pula bertemu Kelantan.

Dua lagi pasukan Liga Super yang membuat perhitungan adalah Melaka United dengan Kuala Lumpur, manakala Perak dan PKNP FC berpeluang cerah untuk mara apabila diundi menentang wakil Liga Perdana, Pulau Pinang dan Kuantan FA.




Pendahulu Liga Perdana, FELDA United yang masih belum tewas musim ini akan melayan kunjungan UKM FC di Jengka, Pahang.

Perlawanan pusingan ketiga trofi berprestij ini bakal berlangsung pada 16, 17 dan 18 Mac ini.

Keputusan undian pusingan ketiga Piala FA 2018

Pahang mln Kedah
Melaka mln Kuala Lumpur
FELDA United mln UKM FC
UiTM FC mln Johor Darul Ta’zim
Terengganu FC mln Selangor
Pulau Pinang mln Perak
PKNS mln Kelantan
PKNP FC mln Kuantan FA