Tiada lagi No 13 Davide Astori

ROME: Fiorentina dan Cagliari masing-masing akan menamatkan nombor 13 yang pernah disarung oleh pertahanan Davide Astori selepas pemain Itali itu mati mengejut pada usia 31 tahun, umum kedua-dua kelab itu hari ini.



Astori, yang membuat 289 penampilan Serie A sepanjang 10 musim dan 14 kali mewakili skuad kebangsaan, menyertai Fiorentina secara pinjaman pada 2015.

Kelab itu mendapatkannya secara kekal setahun kemudian dan menjadi kapten mereka.

Sebelum itu, dia menyertai Cagliari selama enam musim dan semusim dipinjamkan ke AS Roma.

“Sebagai penghormatan kepada Davide #Astori, @CagliariCalcio dan #ACFFiorentina memutuskan untuk menamatkan jersi No 13. #DA13,” kata Fiorentina menerusi Twitter.




Cagliari juga turut menghantar mesej yang sama.

Astori ditemui mati di bilik hotel di Udine, Ahad lalu di mana Fiorentina dijadualkan menentang Udinese. Serie A menangguhkan semua perlawanan pada hari itu.

Pendakwaraya awam Itali berkata hari ini berkata pihaknya membuka siasatan untuk mengenalpasti sama ada kematian Astori turut dikaitkan dengan pembunuhan. – Reuters