VIDEO Manchester United Buat Crystal Palace Gigit Jari

Jose Mourinho mampu menarik nafas lega selepas Manchester United berjaya mengelak daripada menanggung kesilapan ‘budak sekolah’ di bahagian pertahanan apabila memastikan kemenangan 3-2 di Crystal Palace selepas ketinggalan 2-0.

Andros Townsend meletak Palace di di hadapan hasil rembatan yang terbias, namun gol keduanya menuju waktu rehat mencetuskan kebimbangan serius Mourinho.



Sepakan percuma pantas oleh Jeffrey Schlupp di kawasan tengah United menemui Patrick van Aanholt yang meluru di belakang pertahanan sebelum menewaskan David de Gea.

Begitupun, United kembali berjuang menerusi gol sumbangan Chris Smalling, Romelu Lukaku dan Nemanja Matic, yang melancarkan rembatan padu dari jarak 30 ela pada masa kecederaan.

Sungguhpun lega sejurus permainan tamat, Mourinho tetap tidak berasa kagum dengan fokus barisan pertahanannya.

“Ia perlawanan sukar buat saya kerana pasukan saya membuat terlalu banyak kesilapan,” katanya kepada Sky Sports.




“Kami mempunyai karakter yang luar biasa, kualiti yang sangat baik pada separuh masa kedua tetapi kami membuat banyak kesilapan di bahagian pertahanan, dan saya tidak hanya maksudkan pertahanan saya sahaja, sebaliknya saya bercakap tentang pasukan secara umumnya.

“Jadi, permainan ini bukan satu aksi yang memberangsang untuk saya kerana saya tidak gemar pasukan saya untuk tidak teratur seperti yang mereka pamerkan, bagaimanapun ia merupakan perlawanan yang luar biasa dan kebangkitan yang hebat.

“Sekiranya kami tidak dibolosi gol kedua dan keluar dari bilik persalinan untuk mengubah keputusan, saya akan mengatakan bahawa saya telah menerapkan sesuatu yang bagus ketika masa rehat, tetapi dibolosi gol kedua yang terhasil daripada kesilapan budak sekolah itu, semuanya berubah.

“Begitupun, pemain terus mempamerkan karakter yang menakjubkan. Saya fikir (Jesse) Lingard di sebelah kanan sebagai bek kanan palsu telah mencetuskan masalah dan (Juan) Mata menemui ruang di dalam kawasan lawan.




“Kami menggerakkan bola lebih cepat, kedudukan (Marcus) Rashford di sebelah kiri sekurang-kurangnya menarik pertahanan kanan mereka lalu memberi lebih banyak ruang di bahagian tengah.

“Kemudian, kami menunjukkan karakter dan anda memerlukan sedikit tuah untuk memenangi perlawanan dalam tempoh beberapa minit terakhir.”