Kaji Dulu Keberkesanan VAR – Subkhiddin

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) — Satu kajian mendalam mengenai penggunaan sistem teknologi video bantuan pengadil (VAR) perlu dilaksanakan bagi memastikan sistem berkenaan berkesan dalam meningkatkan kualiti pengadilan bola sepak di negara ini.



Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh berkata penggunaan sistem berkenaan bukan sahaja menelan kos yang tinggi namun masih menggunakan kepakaran pengadil dalam memastikan keputusan ketika sesuatu perlawanan bola sepak adalah tepat.

Beliau mendakwa beberapa negara di Eropah seperti England turut dilaporkan serba salah dalam melaksanakan penggunaan sistem berkenaan sepenuhnya dalam saingan Liga Perdana Inggeris kerana dikatakan sering bercanggah dengan keputusan yang dibuat oleh pengadil.




“Ada beberapa negara seperti England, umpamanya, yang serba salah hendak melaksanakan VAR ini, namun elok saya nyatakan di sini bahawa sistem VAR itu sebenarnya dikawal oleh manusia dalam membuat keputusan dan bukannya teknologi itu sendiri.

“Sehubungan itu, kita harap badan dunia seperti IFAB (International Football Association Board) dapat memberikan keputusan yang lebih baik dalam perkara ini dan kita harap dalam jangka masa panjang, VAR ini akan murah kerana harganya agak mahal ketika ini,” jelas Subkhiddin.