VIDEO Liverpool, Real Madrid Layak Ke Suku Akhir Liga Juara-Juara

Juara bertahan, Real Madrid mara ke aksi suku akhir Liga Juara-Juara menerusi agregat 5-2 ke atas Paris Saint-Germain (PSG) selepas melakar kemenangan 2-1 dalam aksi kedua di Parc des Princes, awal pagi tadi.



Juara Eropah 12 kali itu membuka tirai jaringan ketika tujuh minit babak kedua bermula menerusi Cristiano Ronaldo sebelum Casemiro meledak gol kedua ketika perlawanan berbaki 10 minit untuk menundukkan PSG yang beraksi tanpa Neymar yang mengalami kecederaan selain Marco Veratti yang dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-66.

Ronaldo menjaringkan gol dalam sembila perlawanan berturut-turut menyamai rekod Ruud van Nistlerooy dalam aksi elit Eropah itu sebelum Edinson Cavani menyamakan kedudukan pada minit ke-71 namun Casemiro memastikan kemenangan Real.

Skuad kendalian Zinedine Zidane yang ketinggalan 15 mata di belakang Barcelona dalam saingan La Liga kini sedang mengintai peluang merangkul kejuaraan hatrik di pentas Eropah.




Sementara itu Liverpool berjaya melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh sembilan tahun dengan agregat 5-0 ke atas Porto selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan di Anfield, awal pagi tadi.

Sadio Mane yang memainkan watak penting ketika aksi pertama ke atas pendahulu liga Portugal itu hampir memecah kebuntuan pada separuh masa pertama tetapi percubaannya gagal membuahkan hasil.




Egyptian forward Salah reacts after being denied by Porto goalkeeper Iker Casillas in front of the Kop end at Anfield

Bagaimanapun, kejayaan tiga minggu lalu membolehkan pengendali The Reds, Jurgen Klopp merehatkan beberapa pemain termasuk penjaring terbanyak mereka, Mohamed Salah dan Virgil van Dijk untuk pertemuan menentang Manchester United, Sabtu ini.

Skuad kendalian Klopp kebiasaannya menampilkan permainan pantas di pentas elit Eropah musim ini tetapi dalam perlawanan itu mereka mengambil masa untuk mengawal permainan dengan pengendali dari Jerman itu membuat lima pertukaran pemain berbanding skuad yang menundukkan Newcastle, minggu lalu.