VIDEO Piala AFC: JDT seri dengan Tampines

KUALA LUMPUR 7 Mac – Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) sekadar mengutip satu mata setelah seri tanpa jaringan berdepan kelab Singapura, Tampines Rovers pada aksi ketiga Kumpulan H Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam tadi.



Keputusan seri itu tidak mengubah kedudukan JDT yang kekal menghuni tangga kedua dengan kutipan empat mata di belakang pendahulu, Song Lam Nghe An dari Vietnam yang masih mengungguli tangga teratas dengan kutipan tujuh mata.

Pada aksi malam ini, JDT lebih banyak menguasai perlawanan dengan melancarkan serangan ke kubu pasukan tuan rumah yang dikenali dengan jolokan ‘The Stags’, namun penjaga gol tuan rumah, Syazwan Buhari bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan JDT.




Kemasukan perancang tengah skuad kebangsaan, Safiq Rahim pada awal babak kedua perlawanan memberi nafas kepada jentera tengah skuad Harimau Selatan, namun keputusan seri tanpa jaringan itu kekal sehingga perlawanan tamat.

Terdahulu, Song Lam Nghe An gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri tanpa jaringan menentang kelab Indonesia, Persija Jakarta pada aksi yang berlangsung di Stadium Vinh, Vietnam.




JDT dijadual berdepan pasukan sama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin manakala Persija Jakarta akan melayan kunjungan Song Lam Nghe An pada aksi keempat Kumpulan H.

Kedua-dua perlawanan dijadual berlangsung pada 14 Mac. – BERNAMA