Bahana surat ringkas, RM500,000 ‘terbang’

Image may contain: 11 people, outdoor

ANGKARA sepucuk surat ringkas, pasukan UKM FC bakal didenda sebanyak RM500,000 daripada Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) yang disifatkan kelab itu sebagai sangat membebankan.

Jumlah denda atas kesalahan kelewatan melengkapkan dokumen pendaftaran Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, adalah mencukupi untuk membayar gaji keseluruhan pemain bagi tempoh tiga bulan.



Penolong Pengurus UKM FC, Suhaimi Sulaiman berkata pihaknya tidak menyangka kelewatan mengemukakan surat ringkas pengesahan tiada tunggakan gaji pemain tahun lalu itu menyebabkan menerima hukuman berat berkenaan.

“Kami sebenarnya sudah menghantar surat pengesahan pembayaran LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) pada 22 Januari lalu iaitu sebelum tarikh akhir pada 3 Februari.

“Jadi, kami fikir sudah melengkapkan segala dokumen yang diperlukan kerana tiga dokumen ini membuktikan kami tidak ada tunggakan gaji pemain tahun lalu. Ini kerana kalau kami ada masalah dengan dokumen itu, maka kami juga tidak boleh mendaftarkan pemain.

“Tak sangka pula, kami masih perlu menghantar surat ringkas yang saya boleh tandatangani sendiri untuk menyatakan kami tiada sebarang tunggakan gaji. Kini kerana surat ringkas itu, kami didenda sebanyak RM500,000,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

UKM yang dinaikkan ke Liga Perdana musim ini, adalah antara lima pasukan yang didenda sebanyak RM500,000 oleh FMLLP. Empat lagi adalah Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM dan MIFA.




Pasukan Liga Super pula adalah, Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor dan PKNS FC yang didenda sebanyak RM1.5 juta.

Hukuman dikenakan ke atas Kelantan, Kuantan, Sarawak dan Pulau Pinang kerana gagal melengkapkan dokumen manakala MIFA, UKM, Selangor, PKNS, PDRM dan Kuala Lumpur tidak menghantar dokumen pendaftaran selepas tarikh akhir iaitu 5 Mac.

Selain denda kewangan, pasukan terbabit turut dikenakan pemotongan tiga hingga enam mata namun hukuman itu ditangguhkan sehingga 31 Disember ini bagi memberi peluang kedua.

Suhaimi berkata, pihaknya sudah menghantar surat rayuan kepada FMLLP pagi tadi dan berharap mereka tidak dikenakan sebarang hukuman berdasarkan kesalahan yang dilakukan.




“Kita tak sangka disebabkan satu surat ringkas yang menyatakan kami tiada tunggakan gaji menyebabkan kami diheret dalam kes ini. Namun kami muhasabah diri. Kami pasukan baru dan masih banyak yang perlu dipelajari.

“Bagi kami, duit dan mata sama penting. Tak ada duit, pemain tak dibayar gaji jadi moral pemain jatuh. Dengan saingan Liga Perdana yang kompetitif, satu kerugian besar jika mata UKM dipotong,” katanya. – HMetro