Denda RM1.5 Juta Terlalu Besar Buat Kafa
KOTA BHARU 7 Mac – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan mengemukakan rayuan kepada Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) untuk mengurangkan hukuman denda RM1.5 juta yang dikenakan terhadap persatuan itu.
“Jumlah denda itu sangat besar kepada kami terutamanya ketika keadaan kewangan persatuan tidak stabil berikutan Kafa tidak dibantu mana-mana pihak berkaitan kewangan bagi pengurusan pasukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan Kelantan antara empat pasukan Liga Super yang dikenakan denda RM1.5 juta selepas gagal melengkapkan pendaftaran untuk bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Selain Kelantan, tiga lagi pasukan Liga Super yang dikenakan hukuman sama ialah Kuala Lumpur, Selangor dan PKNS FC manakala enam pasukan Liga Perdana iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, MIFA dan UKM FC masing-masing perlu membayar denda RM500,000 atas kesalahan sama.
Bibi Ramjani berkata, pihaknya juga akan meminta pencerahan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan FMLLP berkaitan dokumen yang perlu disediakan bagi proses rayuan itu.
“Kami mahu memenuhi syarat semampu yang boleh memandangkan Kafa musim ini di bawah pengurusan baharu yang terpaksa bergerak ke depan dalam perbelanjaan terhad di samping membayar tekanan hutang sebelum ini.
“Kewangan kami hanya bergantung kepada pihak penaja musim ini yang diperoleh dalam jumlah yang kecil,” katanya.
Semalam, Kafa dan sembilan pasukan boleh menarik nafas lega apabila hukuman pemotongan mata oleh FMLLP ditangguhkan atas kesalahan yang sama (gagal melengkapkan pendaftaran Liga Malaysia). – BERNAMA