Harry Kane redakan kebimbangan Spurs, England

LONDON: Harry Kane yang menyasarkan untuk kembali beraksi dengan pantas memperoleh khabar gembira apabila Tottenham mengesahkan tonggak Piala Dunia England itu dijangka pulih daripada kecederaan buku lali pada bulan depan.

Kane dipapah keluar pada babak pertama perlawanan bertemu Bournemouth, minggu lalu ketika Tottenham ketinggalan 0-1 tetapi skuad kendalian Mauricio Pochettino bangkit untuk menang 4-1 dan melangkah ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL).



“Kecewa untuk tidak dapat beraksi sehingga bulan depan tetapi kecederaan adalah sebahagian daripada perlawanan,” kata Kane menerusi laman Twitter.

“Akan melakukan apa saya untuk kembali bermain secepat yang mungkin.”

Kecederaan Kane yang menghadirkan risiko rehat panjang mencetus kebimbangan buat England menjelang Piala Dunia 2018 di Russia yang berbaki kurang tiga bulan saja lagi.




“Penilaian awal mengesahkan bahawa Harry Kane mengalami kecederaan ligamen di sisi pergelangan kaki kanannya,” kata Tottenham di laman web mereka.

“Penyerang England itu mengalami kecederaan susulan terjahan ketika kemenangan 4-1 menentang Bournemouth pada Ahad dan dijangka kembali ke latihan pasukan utama pada bulan depan.”




England memulakan kempen Piala Dunia pada 18 Jun menentang Tunisia sebelum menghadapi Panama dan Belgium dalam Kumpulan C.

Sekali pun berita itu positif buat England, ia tetap satu tamparan bagi Tottenham dalam usaha memburu kedudukan empat tempat teratas EPL untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Kane akan terlepas aksi suku akhir Piala FA bertemu Swansea pada Sabtu ini selain perlawanan persahabatan England menentang Belanda dan Itali, bulan ini. – AFP