Liga Europa: Wenger puji daya tahan Gunners

LONDON: Arsene Wenger memuji ‘disiplin dan daya tahan’ Arsenal selepas skuad kendaliannya itu layak ke suku akhir Liga Europa dengan menyingkirkan AC Milan, awal pagi tadi.



Selepas menang 2-0 pada aksi di Milan, minggu lalu, Arsenal tidak lagi menoleh ke belakang apabila menewaskan wakil Itali itu 3-1 pada aksi timbal balik di Emirates untuk layak menerusi agregat 5-1.

“Kami menang dua perlawanan dan menamatkannya (perlawanan kedua) dengan cara yang meyakinkan menentang pasukan yang kuat,” kata Wenger.

“Untuk menyelesaikan kerja sentiasa sukar, terutama apabila kamu memperoleh keputusan yang baik di tempat lawan kerana kamu kurang mengerti (apa yang akan berlaku) di antaranya.




Milan begitupun terlebih dulu membuka tirai jaringan pada minit ke-35 apabila Hakan Calhanoglu melepaskan rembatan jarak jauh cantik untuk menggegar gawang Arsenal.

Tetapi tuan rumah mengembalikan kelebihan dua gol secara agregat dua minit kemudian apabila Danny Welbeck memperoleh penalti kontroversi dan menyempurnakannya tetapi ia mencetus kemarahan pemain Milan.

Wenger dalam pada itu enggan mengkritik penyerangnya itu.




“Kamu dapat melihat yang pasukan kami bertindak balas dengan serta merta dan kami sentiasa menyerang dan merbahaya,” kata Wenger.

“Saya akan melihatnya (video Welbeck terjatuh) sekali lagi dan akan memberikan pandangan jujur saya mengenainya. Saya akan memberitahunya mengenai perasaan saya juga, jadi jangan bimbang.”

Wenger dalam pada itu turut menamakan kelab Sepanyol, Atletico Madrid sebagai pasukan pilihan dalam kempen Lia Europa kali ini. – Reuters