Jangan salahkan Marcote, Pallares saja – Khamal Idris

KUALA LUMPUR: Dua piala sudah terlepas daripada genggaman, Kedah mungkin mengakhiri musim ini dengan tangan kosong jika prestasi terumbang-ambing ketika ini tidak ditangani segera.



Sesudah terlepas Piala Sultan Ahmad Shah kepada Johor Darul Ta’zim pada perlawanan pembuka tirai 2018, Lang Merah gagal mempertahankan kejuaraan Piala FA apabila tewas 0-1 kepada Pahang pada pusingan ketiga, Sabtu lalu.

Bekas pemain, Khamal Idris Ali berkata, situasi itu amat membimbangkan serta memerlukan tindakan segera daripada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) demi memastikan pasukan itu mampu menjulang sekurang-kurangnya satu daripada baki dua kejuaraan- Liga Super dan Piala Malaysia.

“Jika menilai persembahan Kedah sekarang, amat sukar untuk mereka pergi jauh. Kalau prestasi sebegini berterusan, tidak mustahil mereka akan mengakhiri musim ini tanpa piala.

“Namun segala-galanya belum terlewat. Walaupun sudah terlepas dua piala, mereka masih ada peluang untuk merebut Liga Super dan Piala Malaysia.




“Begitupun KFA perlu melakukan bedah siasat serta memperbaiki keadaan itu dengan secepat mungkin. Jika mereka lambat bertindak, situasi akan menjadi semakin parah ,” katanya.

Selain terlepas dua piala, prestasi Lang Merah dalam saingan Liga Super juga menyebabkan penyokong ‘naik hantu’ apabila kini sekadar menduduki tangga ketujuh dengan enam mata hasil dua kemenangan daripada lima perlawanan.

Walaupun kebanyakan penyokong kini menghalakan ‘meriam’ ke arah jurulatih, Ramon Marcote sebagai punca kelemahan pasukan, Khamal melihat keseluruhan pasukan perlu bertanggungjawab.




“Tidak adil anda menuding jari serta meletakkan kesalahan 100 peratus ke atas Marcote. Apa yang berlaku ke atas pasukan Kedah bukan salah beliau seorang sebaliknya baik pengurusan mahupun pemain perlu turut bertanggungjawab.

“Begitu juga tidak patut anda mengecam Pablo Pallares seorang saja kerana gagal menjaringkan gol sedangkan bahagian pertahanan juga amat longgar dan mudah dibolosi.

“Dalam situasi sekarang, bukan masa untuk tuduh menuduh atau mencari salah siapa tapi menilai segala aspek kelemahan sama ada pengurusan, kejurulatihan serta permainan,” ujar Khamal yang juga Presiden Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Kedah (KEFA). – Bharian