Hazard bukan penyerang utama Belgium

Hazard bukan penyerang utama Belgium 

Eden Hazard tidak akan bermain untuk Belgium sebagai pemain nombor 9 palsu (penyerang kedua di belakang utama) biarpun kerap memainkan peranan itu bersama Chelsea musim ini, kata Roberto Martinez.



Pemain berusia 27 tahun itu sering digunakan sebagai titik fokus serangan Blues pada musim 2017-18, berikutan Alvaro Morata bergelut untuk menampilkan prestasi terbaiknya sementara Olivier Giroud masih belum serasi dan Michy Batshuayi pula dipinjamkan ke Borussia Dortmund.

Ia bukanlah peranan yang Hazard tampak selesa, dengan bekas pemain Lille itu berkata selepas kekalahan 1-0 Chelsea kepada Manchester City, bulan ini: “Kami boleh bermain selama tiga jam dan saya masih tidak akan menyentuh bola.”

Jurulatih Belgium, Martinez, tidak bersedia untuk mengulangi taktik Antonio Conte dengan menegaskan dia tidak akan memainkan Hazard di posisi itu lalu mengorbankan penyerang Manchester United, Romelu Lukaku, atau pemain lain yang lebih sesuai.

“Prestasi Lukaku sangat bagus, dia sangat mengagumkan ketika menentang Liverpool, dia menunjukkan kematangan, bagus untuk melihatnya melakukannya di tahap tinggi,” katanya.




“Eden bukanlah pemain nombor 9 palsu, ia boleh berlaku di Chelsea berdasarkan pemain seperti Pedro yang ada di sekelilingnya tetapi dengan kami, kami masih mempunyai Romelu, Michy, malah Dries (Mertens) boleh bermain di posisi itu.

“Saya tidak akan meletakkan Hazard di sana,” tegasnya.

Belgium akan menguji Arab Saudi pada bulan ini sebagai sebahagian daripada persiapan Piala Dunia Russia dengan pemain Club Brugge, Anthony Limbombe, dipanggil buat julung kalinya.

Tiada tempat untuk Christian Benteke, begitupun Martinez tidak menolak penyerang itu masih berkesempatan untuk berjuang merebut tempatnya sebelum temasya Russia 2018.




“23 pemain yang akan ke Russia tidak semestinya terdiri daripada skuad teras sahaja,” katanya. “Terdapat pemain seperti Nacer Chadli dan Christian Kabesele yang sering menjadi sebahagian daripada skuad ini.

“Saya tidak menutup pintu kepada sesiapa kerana kecederaan boleh berlaku. Namun, jika semua pemain selesa bersama, skuad Piala Dunia akan dibentuk melalui kumpulan pemain ini.

“Benteke masih sebahagian daripada kumpulan ini, saya tidak mahu memanggil terlalu ramai pemain,” ujarnya.