Persatuan Bolasepak Singapura Rombak Liga-S

SINGAPURA: Liga Singapura (Liga-S) yang dikritik hebat akhirnya dirombak selepas 22 musim dengan Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) melakukan penjenamaan semula bagi menarik minat penyokong serta meningkatkan standard liga utama negara itu.



Sukan bola sepak amat popular di Singapura namun ramai penyokong lebih berminat untuk menonton perlawanan bola sepak Eropah di televisyen dan lebih menyedihkan apabila Liga-S turut dihimpit skandal rasuah, pemain tidak berdisiplin serta kekurangan kehadiran penyokong ke stadium.

Pasukan kebangsaan kini menduduki tangga ke-172 dunia dan terdapat dakwaan bahawa Singapura menjadi pusat global mengatur perlawanan.




Ketika ini, perancangan mengenai penjenamaan semula ini masih belum didedahkan secara terperinci namun difahamkan liga baru itu nanti akan mewajibkan setiap pasukan menurunkan tiga pemain bawah 23 tahun dalam kesebelasan utama manakala perlawanan akan bermula jam 5.30 petang untuk menarik minat penyokong datang bersama keluarga.

“Ini bukan pelancaran biasa,” kata Presiden FAS, Lim Kia Tong pada pelancaran baru Liga itu.

“Visi dan langkah baru ini akan menyemarakkan semula bola sepak Singapura,” tambahnya.




Selain mahu menggalakkan lebih ramai remaja bermain bola sepak, FAS juga mahu memberi penekanan kepada aspek kecergasan dengan menggalakkan pemain bola sepak berhenti merokok.

Kia Tong dilantik menerajui FAS tahun lalu. Sejurus sebelum pelantikannya, polis menyerbu ibu pejabat FAS dan tiga kelab bola sepak tempatan berhubung dakwaan penyelewengan wang.

Skandal itu adalah sesuatu yang luar biasa di Singapura memandangkan mereka dilabel sebagai antara negara paling rendah gejala rasuah. – AFP