Ganti Pemain Baru Setelah Tewas, Cheng Hoe Akui Kesilapan Individu Sekat Kemenangan

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, menyifatkan kesilapan daripada beberapa pemain menyebabkan ujian pertamanya bersama skuad kebangsaan gagal dimulakan dengan nota kemenangan apabila diikat seri 2-2 oleh Mongolia, malam tadi.



Aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu merupakan ujian pertama buat Cheng Hoe sejak menggantikan Nelo Vingada selaku ketua jurulatih skuad negara.

Biarpun dua kali mendahului, anak-anak buahnya terpaksa akur dengan kebangkitan lawan yang diwakili pemain-pemain sambilan untuk menamatkan perlawanan tanpa sebarang pemenang.

“Kami bermain dengan baik tetapi dibolosi. Dua jaringan itu disebabkan kesilapan individu yang sedikit leka dan hilang fokus,” ujar Cheng Hoe.




“Gol yang kita lepaskan akibat kesilapan individu dan kurang konsentrasi. Saya percaya kita masih boleh perbaiki prestasi kerana kita lihat pemain mempunyai lebih keyakinan hari ini. Walaupun Muhammad Akhyar Abdul Rasid pemain paling muda dalam skuad, beliau menampilkan permainan yang cemerlang,” katanya selepas perlawanan.

“Pemain-pemain sudah berjuang habis-habisan tetapi nasib tidak menyebelahi kami,” tambah pemain pertahanan, Adam Nor Azlin.

“Bagaimanapun, saya yakin di bawah kendalian Tan Cheng Hoe, Malaysia mampu meningkatkan banyak aspek sebelum berdepan Lubnan selepas ini.”




Sementara itu, bagi kapten Mongolia, Turbat Dagina, kelebihan beraksi di depan penyokong sendiri telah membuatkan Malaysia sukar ditundukkan.

“Ia bukan aksi yang terbaik tetapi kami tetap meraih keputusan yang positif. Agak sukar beraksi di tempat lawan dan Malaysia nyata lebih baik berbanding kami,” kata Dagina.

Terkini Tan Cheng Hoe menggugurkan 14 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan menggantikan dengan sembilan pemain baru selepas seri 2-2 menentang Mongolia dalam aksi persahabatan antarabangsa malam tadi.