Tiada istilah pilihan pertama, kedua – Zaquan
Penyerang negara, Zaquan Adha Abdul Razak, menegaskan kelibatnya bersama lapan pemain lain dalam skuad kebangsaan bukan atas dasar pilihan kedua tetapi mereka adalah kelompok terbaik yang Malaysia miliki ketika ini.
Sebagai contoh, Zaquan sanggup membatalkan percutian bersama keluarga sebaik sahaja namanya dipanggil untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
Tiada istilah pilihan kedua baginya dan pemain skuad Kuala Lumpur itu bertekad untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh barisan kejurulatihan negara menjelang pertemuan dengan Lubnan, Selasa ini.
“Bagi saya, tiada istilah pilihan pertama atau kedua kerana setiap nama yang dipanggil adalah penghormatan yang terbaik untuk pemain-pemain,” katanya.
“Kita tidak boleh mengelak daripada masalah kecederaan tetapi saya mengharapkan nasib yang baik apabila bermain di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.
“Sudah lama saya berkeinginan untuk kembali beraksi buat Harimau Malaya,” ujarnya.