Hukuman denda bagi pasukan Liga M dikurangkan

HUKUMAN denda bagi pasukan yang lewat dan gagal melengkapkan pendaftaran pasukan Liga Malaysia (Liga M) 2018 telah dikurangkan.



Sepuluh pasukan telah membuat rayuan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi pengurangan hukuman dalam masa 14 hari selepas pemakluman hukuman dibuat.

Pasukan tersebut adalah Kelantan, Kuantan FA, Pulau Pinang, Sarawak, MIFA FC, UKM FC, PKNS FC, PDRM FA, Kuala Lumpur dan Selangor.

Bagi denda pasukan Liga Super, hukuman telah dikurangkan daripada RM1.5 juta kepada RM500,000 manakala pasukan Liga Perdana pula hukuman dikurangkan daripada RM 500,000 kepada RM200,000.




Selain itu, hukuman bagi sekatan perpindahan bagi pasukan yang gagal melengkapkan dokumen dan hukuman tertangguh pemotongan mata dikekalkan.

Terdahulu, dalam mesyuarat lembaga pengarah yang telah berlangsung pada 5 Mac lalu, lembaga pengarah MFL telah memutuskan hukuman denda bagi 10 pasukan yang telah lewat dan gagal melengkapkan dokumen Liga Malaysia 2018.




“Hukuman tersebut diringankan pada kali ini dengan memberi peluang kepada pasukan untuk membuat perubahan yang lebih baik pada masa akan datang.

“Tetapi perlu ditegaskan, hukuman lebih berat melebihi RM 1 juta akan dilaksanakan jika masih berlaku perkara yang sama pada masa depan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, keputusan lembaga pengarah mengenai rayuan itu dibuat di atas nasihat Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.