Hamidin sedia pikul jawatan Presiden FAM

Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, bersedia memikul cabaran sebagai presiden persatuan itu seperti dicadangkan mantan presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.



Namun, ia bergantung kepada Kongres FAM yang dijadualkan berlangsung pada Julai tahun depan.

Hamidin ketika dihubungi Nadi Arena enggan mengulas panjang mengenai cadangan Tunku Ismail itu untuk beliau mengambil alih pucuk pimpinan FAM.




Meskipun terharu dengan keyakinan Tunku Ismail terhadapnya, Hamidin menyerahkan kepada ahli gabungan negeri untuk membuat keputusan menentukan pucuk pimpinan baru FAM ketika kongres tahun depan.

“Yang pertama, saya terharu kerana Tunku Ismail mencadangkan nama saya.




“Buat masa ini, saya tidak boleh mengulas lanjut dan biarlah kami menyelesaikan proses peletakan jawatan Tunku Ismail,” kata Hamidin.

Sementara itu, Hamidin mengesahkan pentadbiran harian FAM masih berjalan seperti biasa walaupun Tunku Ismail sudah melepaskan jawatannya secara rasmi, semalam — genap hanya setahun selepas menang jawatan presiden tanpa bertanding pada 25 Mac tahun lalu.




Mengenai cadangan Tunku Ismail untuk timbalannya, Datuk Wira Yusoff Mahadi memangku tugas presiden sehingga kongres FAM tahun depan, Hamidin menjelaskan satu mesyuarat khas akan diadakan badan induk itu terlebih dulu.

“Kami akan membawa semua isu dalam mesyuarat khas exco. Kami perlu mengikut Statut FAM untuk membincangkan peletakan jawatan presiden FAM.

“Selepas mesyuarat itu, pengerusi sementara akan mengumumkan apa jua keputusan yang dibuat,” katanya.