Tekad Nidzam selepas kembali bimbing Kedah

ALOR SETAR: Tempoh kurang dua minggu membuat percaturan bagi mengembalikan prestasi Kedah menjadi cabaran terbesar buat Nidzam Adzha Yusoff yang diamanahkan mengemudi pasukan itu buat kali kedua.



Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) melantik Nidzam sebagai ketua jurulatih skuad Helang Merah bagi menggantikan Roman Marcote yang dilantik sebagai jurulatih program pembangunan.

Ketika ditemui di sini, hari ini, Nidzam berkata misi utamanya kini adalah untuk menyiapkan barisan pemain dan strategi terbaik bagi mengembalikan reputasi Kedah sebagai pasukan disegani dalam mengharungi baki saingan Liga Malaysia musim ini.

“Selepas diamanahkan oleh pengurusan untuk mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih, saya rasa saya lebih bersedia dan ingin memberi yang lebih baik berbanding sebelum ini.




“Saya berharap penyokong dapat terus memberi sokongan kepada pasukan Kedah walaupun setiap penyokong mempunyai pandangan masing-masing. Kita faham penyokong juga mahukan yang terbaik dan itulah juga hasrat pengurusan.

“Jadi tanggungjawab saya sekarang adalah untuk melonjak kembali prestasi pasukan ke tahap terbaik supaya kita dapat berada dalam kelompok empat pasukan teratas liga,” katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH).

Ditanya mengenai penambahbaikan pasukan selepas KFA memutuskan untuk memberi tugas baru kepada Marcote, Nidzam berkata beliau harus memberi penekanan untuk memperkemaskan jentera pertahanan.




“Kita harus beri tumpuan terutama di bahagian pertahanan yang menyaksikan kita bolos 12 gol dalam lima perlawanan lalu. Ini satu jumlah terbesar setakat ini dalam kalangan pasukan Liga Super.

“Kita juga akui perlu memberi fokus dan pertingkatkan bahagian serangan,” katanya.

Semalam, KFA membuat keputusan melantik Marcote untuk mengendalikan program pembangunan bola sepak Kedah susulan prestasi terumbang ambing skuad Helang Merah sejak awal musim ini.