Crespo yakin Argentina mampu julang Piala Dunia 2018

Image result for Hernan Crespo

PETALING JAYA 31 Mac – Bekas penyerang berbisa Argentina, Hernan Crespo, percaya negara gergasi bola sepak itu mampu bangkit semula untuk menjulang Piala Dunia pada edisi ke-21 di Rusia, bermula 14 Jun ini.



Pemain berusia 42 tahun, yang beraksi dalam tiga Piala Dunia sejak 1998, yakin jurulatih baharu, Jorge Sampaoli, mampu membentuk kombinasi terbaik antara pemain untuk muncul sebagai pencabar utama Piala Dunia 2018 selepas dimalukan 6-1 oleh Sepanyol pada pelawanan persahabatan, Rabu lalu.

Pada aksi itu, Argentina tidak menurunkan pemain terbaik dunia, Lionel Messi kerana dihimpit masalah kecederaan.

“Skuad Argentina dalam pro­ses membina keserasian antara pemain kerana jurulatih baru sahaja membimbing dalam 10 perlawanan sebelum menentang Sepanyol…oleh itu masih sukar untuk melihat identiti yang sinonim dengan pasukan kami.

“Saya mahu melihat skuad negara sebagai satu pasukan…kini kami mempunyai pemain individualistik. Tetapi pada masa sama, saya tidak bimbang kerana kita sedang dalam proses membentuk pasukan yang mantap,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen Piala Dunia Rusia 2018 oleh Astro di sini hari ini.




Beliau percaya selain perancang pasukan, Messi, negara Amerika Selatan itu mempunyai ramai pemain berbakat untuk meningkatkan skuad negara selepas gagal meraih kejuaraan walaupun mara ke final dalam tiga kejohanan utama dalam beberapa tahun kebelakangan ini termasuk pada Piala Dunia 2014 di Brazil.

Image result for Hernan Crespo

Hernan mengakui bahawa juara bertahan, Jerman, Sepanyol dan Perancis merupakan pasukan pilihan pada Piala Dunia kali ini serta Belgium mampu melakukan kejutan besar.

“Saya juga ingin melihat bagaimana Iceland dan Panama melakukan penampilan sulung serta menarik melihat aksi pasukan Latin Amerika seperti Mexico dan Peru,” kata bekas penyerang kelab Inter Milan, AC Milan dan Chelsea itu.

Sementara itu, bekas penye­rang Perancis, Louis Saha, yakin negaranya, mampu menjulang Piala Dunia di Rusia selepas 20 tahun ketika menjadi tuan rumah pada edisi 1998.




“Walaupun telah membuktikan sebagai pasukan kuat dan lebih baik namun masih ada kekura­ngan dari segi konsisten dan kekuatan mental. Kami mungkin tidak mempunyai bintang dunia seperi Messi atau Cristiano Ronaldo, tapi pasti mempunyai pasukan yang hebat,” kata bekas penyerang Manchester United itu.

Sementara itu, Ketua Unit Sukan Astro, Lee Choong Khay mengesahkan bahawa kesemua 64 perlawanan Piala Dunia akan disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan telefon bimbit.

Pelanggan Astro boleh me­nyaksikan Piala Dunia menerusi pakej sukan/SuperPack dan SuperPack Plus manakala mereka yang tidak melanggan pakej sukan boleh menonton dalam Astro Go dengan membeli pas berharga RM100 dan RM120 bagi pelanggan prabayar Njoi.

Pas tersebut boleh dibeli menerusi laman laman sesawang di www.astro.com.my/wc2018. – BERNAMA