FAM Terima Peletakan Jawatan TMJ

PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kini sah bukan lagi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).



Perkara itu diumumkan Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif (Exco) yang membincangkan perkara berkenaan selepas Tunku Ismail secara rasmi menyerahkan surat peletakan jawatannya pada 25 Mac lepas.

“Keputusan mesyuarat tadi kita (exco) telah setuju untuk menerima peletakan jawatan itu sebulat suara kerana kita faham hasrat Tunku Ismail itu selepas diberi penjelasan oleh baginda sendiri sewaktu di Kongres Tahunan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) di Johor Bahru.




“Dan hari ini kita (barisan exco) memahami hasrat Tunku Ismail itu walaupun dengan rasa berat hati untuk menerima peletakan jawatan itu,” kata Mohd Yusoff, yang memangku jawatan Presiden sehingga Kongres Tahunan FAM kali ke-64 yang dijadual berlangsung pada 14 Julai depan.

Terdahulu, mesyuarat khas itu sebulat suara bersetuju dengan cadangan Datuk Seri Subahan Kamal, seorang lagi Timbalan Presiden FAM, untuk menamakan Mohd Yusoff bagi memangku jawatan yang dikosongkan oleh Tunku Ismail.




“Saya ucap terima kasih kepada Datuk Seri Subahan dan seluruh barisan exco atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk memangku jawatan presiden ini sehingga Kongres FAM akan datang,” katanya.

Untuk rekod, pada 15 Mac lepas, Tunku Ismail menggemparkan dunia bola sepak tanah air apabila mengumumkan meletak jawatan presiden FAM yang disandangnya itu menerusi laman rasmi Facebook Johor Southern Tigers. -Bernama