Pochettino lega akhiri kemarau kemenangan di Chelsea

03poce.transformed

LONDON: Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino menegaskan dia sentiasa yakin dengan bakat Dele Alli walaupun pemain England itu bergelut memenuhi piawaian tinggi ditetapkannya.

Alli menggandakan jaringannya untuk tahun 2018 dengan meledak dua gol dalam tempoh kurang lima minit ketika Spurs menewaskan Chelsea 3-1 malam tadi, sekali gus mengakhiri penantian 28 tahun untuk kemenangan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge.



Kekalahan di laman sendiri itu menamatkan harapan Chelsea untuk saingan Liga Juara-Juara musim depan apabila Spurs melebarkan jurang kepada lapan mata ke pesaing terdekat mereka untuk tangga keempat liga itu.

“Saya amat gembira untuk Dele,” kata Pochettino. “Ia tempoh yang sukar untuknya, tetapi saya suka bakat dan perwatakannya. Saya amat gembira untuknya kerana dia berhak mendapatkannya.”




Alli tidak disenaraikan untuk kedua-dua perlawanan persahabatan England menentang Belanda dan Itali baru-baru ini, dan pengendalinya Gareth Southgate menyatakan yang tempatnya dalam kesebelasan utama skuad Piala Dunia masih belum selamat.

03deleali.transformed

“Saya pasti peminat masih kecewa dengan cara saya bermain hari ini,” kata Alli yang meraikan jaringan pertamanya dengan cara mengejek di depan penyokong Chelsea. “Saya tidak rasa saya perlu membuktikan apa-apa dengan cara saya bermain hari ini.”




Tetapi selepas menjaringkan 22 gol musim lalu, Pochettino percaya Alli menjadi mangsa kepada kejayaannya sendiri pada saat terlalu awal dalam kariernya.

“Namun dia bakat yang hebat, hanya 21 tahun dan kadang kala kita lupa hakikat itu. Dia baru 21. Ada masanya jangkaan terlalu tinggi diletakkan,” katanya.

Masa depan Antonio Conte sebagai pengendali Chelsea semakin kabur selepas gagal menempatkan diri dalam kelompok empat teratas, tanpa mengira keputusan mereka di separuh akhir Piala FA. – AFP