Barca lega Messi kembali

BARCELONA: Lionel Messi dijangka kembali beraksi untuk pertemuan suku akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini menentang Roma dan ia cukup melegakan Barcelona.




Messi sekali lagi menjadi penyelamat Barca Sabtu lalu apabila membantu pasukannya bangkit mengikat Sevilla sebaik dimasukkan sebagai pemain gantian.

Kepentingan Messi kepada sesebuah pasukan tidak dapat dinilai. Kehilangannya pasti dirasai, terutama negaranya Argentina yang dibelasah 6-1 oleh Sepanyol dengan Messi yang cedera hanya menonton dari tempat duduk penonton.

Tetapi bagi Ernesto Valverde, dia tidak mampu kehilangan Messi atau pemain itu tidak berada pada prestasi terbaiknya, atau masih belum cergas sepenuhnya, atau diikat oleh benteng Roma, dan pengendali Barca itu perlu mencari jalan lain.




Messi tidak diturunkan dalam kesebelasan utama untuk lima perlawanan La Liga dan Liga Juara-Juara tahun ini. Barca memenangi dua dan seri daripadanya, yang terakhir menentang Sevilla di mana mereka hampir tewas sebelum Messi menyamakan kedudukan pada minit ke-89.

Dalam saingan Piala Raja Sepanyol, Messi direhatkan pada perlawanan pertama kelompok 16 terakhir menentang Celta Vigo, yang berakhir 1-1, dan bermain pada aksi timbal balik dengan meledak dua gol dalam kemenangan 5-0.

“Kami tidak bimbang mengenainya,” kata Valverde berkenaan kemungkinan pasukan terlalu bergantung kepada Messi.

“Dengan atau tanpa Messi semua perlawanan berbeza, itu hakikatnya. Apa bola kami lakukan?”




Roma juga berharap pemain tengahnya dapat kembali beraksi, dengan Radja Nainggolan terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan ketika menentang Bologna Sabtu lalu.

Jangkaan awal Nainggolan akan terlepas aksi di Nou Camp tetapi dia kembali berlatih semalam.

“Ramai merasakan kami bukan pasukan pilihan dan itulah kebenarannya,” kata penyerang Roma Stephan El Shaarawy. “Perlu diingat pertemuan ini adalah selama 180 minit. Kami perlu mendapat keputusan baik di Barcelona dan memikirkan tentang aksi timbal balik di laman sendiri.” – AFP