FAM edar kertas pencalonan jawatan presiden

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah mengedar kertas pencalonan kepada 20 ahli gabungan untuk menamakan calon pilihan masing-masing bagi menerajui badan induk itu susulan peletakan jawatan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.



Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan FAM, semua 20 ahli gabungan memiliki kuasa untuk menamakan calon bagi merebut ‘kerusi panas’ itu mulai hari ini sehingga pencalonan ditutup pada 11 Mei ini.

“Kertas pencalonan bagi pemilihan jawatan Presiden FAM sudah mula diedarkan kepada semua 20 ahli gabungan, hari ini.

“Mereka perlu menamakan calon pilihan sebelum atau pada tarikh akhir ditetapkan iaitu 11 Mei 2018,” kata kenyataan itu.




Terdahulu, Exco FAM hari ini sebulat suara menerima peletakan jawatan Tunku Ismail.

Keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Khas Pertama Exco FAM Bagi Penggal 2017-2021 yang turut menyaksikan timbalan presiden, Datuk Yusoff Mahadi dilantik sebagai pemangku presiden seperti yang disyorkan oleh Tunku Ismail.

Pada masa sama, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan akan bertanding merebut jawatan presiden pada kongres badan induk itu pada 14 Julai depan.