Juventus bukan seperti dahulu – Zidane

TURIN – Jurulatih Real Madrid Zinedine Zidane memberi amaran bahawa perlawanan akhir menentang Juventus musim lalu hanya memberi sedikit harapan apabila kedua-dua pasukan tersebut akan bertemu di suku akhir pertama Liga Juara-Juara hari ini (Rabu pukul 2.45 pagi waktu Malaysia).

Real yang sudah merangkul 12 gelaran Eropah dan kejuaraan kedua di bawah kendalian Zidane, dengan pengendali dari Perancis itu menegaskan situasi sama sekali berlainan ketika mereka menumpaskan Juve 4-1 di pentas akhir di Cardiff pada penghujung Mei tahun lalu.



“Apa yang boleh saya katakan ia sama sekali berlainan. 10 bulan telah berlalu dan kita tidak boleh samakan ia dengan perlawanan esok.

“Kami mungkin akan lebih mahupun berkurang namun sejak meraih kejayaan di Eropah itu, prestasi kami terumbang-ambing dan bukan seperti yang diharapkan.




“Bagaimanapun saya lihat, Juventus semakin meningkat dan memiliki pencapaian yang baik musim ini,” kata Zidane dalam sidang akhbar menjelang pertembungan suku akhir itu.

Real kini ketinggalan 13 mata kepada pendahulu La Liga Barcelona manakala Juve unggul di carta Serie A dan mereka di landasan yang tepat untuk melakar treble.

“Juventus melaksanakan tugas dengan baik dan bermain bola dengan cantik, mereka memiliki sebuah pasukan yang sempurna.

“Kami perlu memberikan perhatian menyeluruh. Mereka mempunyai barisan pertahanan yang bagus termasuk penyerang yang mantap seperti (Paulo) Dybala dan (Gonzalo) Higuain,” jelas Zidane.- AFP