Liga Juara-Juara Eropah: Nasib menyebelahi Bayern Munich
SEPANYOL 4 April – Jaringan sendiri pasukan lawan dan tandukan Thiago pada lewat minit permainan berjaya memastikan Bayern Munich untuk bangkit daripada ketinggalan menewaskan Sevilla 2-1 dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara.
Pablo Sarabia meletakkan Sevilla di depan pada minit ke-32 selepas menerima hantaran daripada Sergio Escudero.
Bagaimanapun kelebihan itu tidak kekal lama apabila lima minit kemudian Bayern menyamakan kedudukan selepas Jesus Navas gagal mengeluarkan hantaran lintang Franck Ribery sekali gus menewaskan penjaga gol tuan rumah, David Soria.
Juara Eropah lima kali, Bayern bijak memanfaatkan peluang di atas kepenatan Sevilla apabila Thiago meledak gol kemenangan selepas bola terkena Sergio Escudero pada minit ke-68. – REUTERS